EKSKLUSIF

MENUJU ke arah itu, namun masih terlalu jauh untuk menghampiri taraf Kejohanan Trek dan Balapan NCAA.

Bekas pelari pecut negara yang kini menjadi jurulatih olahraga dan pensyarah Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Nazmizan Mohamed berkata, taraf NCAA terlalu tinggi untuk dibandingkan dengan mana-mana kejohanan tempatan, apa lagi kejohanan membabitkan institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Namun, langkah diambil Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan menganjurkan Sirkit Kejohanan Olahraga IPT sejak tahun lalu, bekas pemenang pingat emas 100 meter (m) Sukan SEA Hanoi 2003 itu yakin, kita menuju ke arah itu (NCAA).

“Kita memang ke arah itu, namun kita perlu lihat bahawa Amerika Syarikat (AS) ni sebuah negara sukan nombor satu, apatah lagi dalam olahraga.

“Jauh lagi nak sampai tahap NCAA, tetapi dengan adanya sirkit seperti ini, kita dapat lihat bukan sahaja olahraga malah sukan lain juga dan lebih penting, Sirkit Kejohanan Olahraga IPT membuka ruang kepada semua IPT mengambil bahagian dan tidak terhad kepada institusi pengajian awam (IPTA) sahaja seperti Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum),” kata Nazmizan, kepada FLASH SUKAN.

Nazmizan (kiri) pernah menjalani latihan tiga bulan di Amerika Syarikat pada 2004 dan pernah ditawar melanjut pengajian di Universiti Idaho.

Menurut Nazmizan, setiap kekuatan yang ada pada IPT perlu diteliti sebelum mereka membuat pengambilan atlet dan untuk mencapai tahap seperti kolej universiti di AS, memerlukan perbelanjaan yang tinggi.

“Itulah kekangan utama. Kita perlu sedar bahawa setiap pergerakan atlet yang bertanding mewakili IPT masing-masing, perlu ditanggung kos pengangkutan, penginapan, pembayaran elaun atlet dan banyak lagi.”

Berkongsi pandangannya mengenai tanggapan kolej universiti di AS yang menjadi buruan atlet dari seluruh dunia yang mahu mengembangkan kerjaya sebagai atlet terutamanya dalam bidang olahraga, dia memberitahu, kolej dan universiti di negara Uncle Sam itu mempunyai fasiliti lengkap selain NCAA diiktiraf sebagai laluan untuk atlet muda menukar status ke tahap profesional.

Shereen melanjutkan pengajian di Universiti Winona State, AS.

“Sebenarnya begini, berkaitan sukan termasuk olahraga, kebanyakan atlet dari negara luar ke AS atas dasar menerima tawaran dan kolej serta universiti di sana menawarkan biasiswa.

“Justeru, atlet remaja yang mempunyai pencapaian cemerlang dan luar biasa sahaja ditawarkan untuk melanjutkan pengajian di sana, malah tawaran dibuat berdasarkan kursus berkaitan sukan yang ada di tempat mereka.

“Universiti-universiti kita juga sama, menawarkan peluang kepada atlet melanjutkan pelajaran dan tawaran dibuat sekiranya universiti terbabit mempunyai kursus berkaitan sukan dan setaraf dengan kelayakan akademik penuntut,” ujar Nazmizan.

Azeem Fahmi melanjutkan pengajian di Universiti Auburn, berpeluang berlari bersama bintang dalam pembikinan yang sudah mencatat masa 100m bawah 10 saat.

Menceritakan lanjut, Nazmizan berkongsi beberapa universiti tempatan yang menawarkan pengajian berkaitan sukan di negara ini seperti Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malara (UiTM), Universiti Malaya (UM), dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Contohnya di UniMAP, terkenal sebagai universiti yang menawarkan kursus kejuruteraan, jadi pengambilan penuntutnya berlandaskan merit untuk pengajian yang layak diambil atlet terbabit.

“Ada universiti yang menawarkan laluan khas kepada atlet, kepada anak-anak dari keluarga B40 dan anak orang kurang upaya (OKU),” kata Nazmizan.

Bercakap mengenai harapannya untuk melihat IPT tempatan menjadi sehebat kolej dan universiti dalam melahirkan atlet olahraga, Nazmizan berkata kestabilan dalam membuat keputusan dan meneruskan perancangan amat penting.

Banyak lagi perlu dilakukan bagi memastikan Sirkit Olahraga IPT mencapai tahap NCAA.

“Contohnya penganjuran Sirkit Kejohanan Olahraga IPT yang baru bermula tahun lalu, ianya sangat baik dan pastinya akan berkembang dan peranannya akan lebih besar untuk menyumbang bakat berpotensi kepada negara.

“Namun penganjuran ini hendaklah berterusan dan saya tidak mahu jika individu lain mengepalai IPT, merombak polisi dan menghentikan kejohanan ini, jadi sampai bila sirkit ini akan bertahan juga saya tidak pasti.

“Namun harapan besar saya, sirkit ini diteruskan, bukan sahaja sukan olahraga malah membabitkan suka-sukan lain juga.”

Untuk rekod, beberapa atlet olahraga negara berkelana di AS seperti Shereen Samson Vallabouy dan Muhammad Azeem Mohd Fahmi, malah dia sendiri pernah menerima tawaran biasiswa melanjutkan pengajian di sebuah universiti di Idaho satu masa dahulu.