LEE Zii Jia segera dikejarkan ke Institut Sukan Negara (ISN), selepas memenangi perlawanan suku akhir menentang pilihan kedua dari Denmark, Anders Antonsen, sekali gus menimbulkan persoalan, adakah wakil tunggal perseorangan lelaki ke Sukan Olimpik Paris 2024 mampu meneruskan aksi Masters Malaysia atau sebaliknya.

Zii Jia kelihatan terhincut-hincut di gelanggang, selepas mengatasi pemain nombor empat dunia, dan enggan ditemu bual media, bagi mendapatkan rawatan segera.

Pada perlawanan itu, Zii Jia menewaskan Antonsen 21-15, 19-21, 21-11 dalam aksi yang berlanjutan selama 83 minit.

Pengurus Team LZJ, Lee Zii Yii berkata, Zii Jia mengalami kekejangan dalam set kedua lagi, sehingga terpaksa memanggil pasukan perubatan kejohanan, untuk mendapatkan rawatan.

Lee Zii Jia mengambil masa selama 83 minit  untuk menewaskan pemain nombor 4 dunia, Anders Antonsen dari Denmark.

“Kita boleh nampak selepas set kedua, kakinya itu hingga panggil pasukan perubatan.

“Kakinya ketat dan keletihan mungkin sebab menyertai kejohanan berturut-turut dari Thailand… dia bermain dalam perlawanan sukar sejak semalam ketika menentang pemain India (Kiran George).

“Sekarang dia kejang, duduk kejang, berdiri kejang dan berjalan juga kejang,” kata Zii Yii, sambil mengesahkan pihaknya sudah menghubungi ISN dan segera dibawa ke sana.

Lee Zii Jia merapatkan jurang rekod pertemuan dengan Anders Antonsen kepada 3-5.

Mengulas mengenai keadaan Zii Jia selepas perlawanan, Zii Yii berkata: “Dia duduk di kerusi, staring nothing, tak cakap apa because too tired.”

Justeru, Zii Yii tidak dapat memberi kepastian sama ada Zii Jia mampu beraksi atau tidak di separuh akhir esok, dan keputusan megenainya hanya akan diputuskan selepas pemeriksaan fisioterapi esok.

Pada pusingan kedua, Zii Jia beraksi selama 44 minit ketika menentang Kiran.

Pada Terbuka Thailand, Ahad lalu, Zii Jia muncul juara dengan menewaskan Ng Ka Long dan di separuh akhir esok, dia sekali lagi dijadual menentang pemain Hong Kong itu.