BARCELONA berjaya menundukkan Rayo Vallecano 1-0 di Stadium Olimpic Lluis Companys, sekali gus merampas kedudukan teratas La Liga daripada Real Madrid.

Walaupun menguasai perlawanan, skuad Blaugrana berdepan kesukaran untuk menjaringkan gol di hadapan penyokong sendiri. Gol tunggal pasukan tuan rumah hanya hadir menerusi sepakan penalti pada minit ke-28.

Robert Lewandowski yang diberi tanggungjawab sebagai penendang, tidak mensia-siakan peluang tersebut. Penyerang Poland itu dengan tenang memperdayakan penjaga gol Vallecano, Augusto Batalla.

Lewandowski mengambil sedikit masa sebelum melepaskan rembatan rendah ke penjuru kiri gawang. Batalla pula bergerak ke arah bertentangan, menyebabkan dia gagal menghalang bola.

Barcelona sebenarnya memiliki beberapa peluang untuk menambah jaringan di babak kedua. Namun, penyudah yang kurang tajam membuatkan mereka gagal menambah kelebihan.

Walaupun hanya menang tipis, keputusan ini sudah cukup untuk Barcelona mengambil alih kedudukan teratas La Liga daripada Real Madrid.

Kini, Barcelona mengumpul 51 mata daripada 24 perlawanan, sama seperti Real Madrid, tetapi memiliki kelebihan dari segi perbezaan gol.

Real Madrid gagal menjarakkan diri selepas hanya mencatat keputusan seri 1-1 menentang Osasuna. Sementara itu, Atletico Madrid terpaksa akur jatuh ke tangga ketiga dengan 50 mata.