SITUASI janggal berdepan rakan sepasukan di mana-mana kejohanan, sememangnya sentiasa mahu dielakkan mana-mana pemain namun sesiapapun perlu bersedia dengan hati ‘kering’.

Ketika masing-masing berlumba untuk memungut mata maksima untuk kelayakan Sukan Olimpik Paris, bahang saingan antara rakan sepasukan sendiri mula dirasakan pada kempen Terbuka Malaysia 2024, ketika Aaron Chia-Soh Wooi Yik menentang Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei semalam.

Namun yang baiknya, pertembungan dua beregu negara di pusingan kedua semalam, sekurang-kurangnya mengesahkan jaminan satu slot ke suku akhir.

Bagi Aaron, menentang rakan sepasukan tidak pernah mudah kerana menjalani latihan bersama dan masing-masing tahu corak permainan lawan.

“Kami tetap perlu ada game plan kerana kami masing-masing mahu menang dan ke suku akhir,” kata Aaron.

Sementara Wooi Yik pula membritahu,setiap kali berdepan rakan senegara akan ada satu perasaan tidak menyenangkan.

“Kita tahu sebagai sebuah pasukan yang sama, kita seharusnya mara lebih jauh bersama-sama, jika kami mara mereka juga nak mara.

“Tapi malangnya kami terpaksa bertemu sesama sendiri dan masing-masing perlu buktikan siapa terbaik,” kata Wooi Yik, selepas mereka mengatasi Izzuddin-Sze Fei 21-15, 21-16 di pusingan kedua semalam, untuk menjamin aksi suku akhir hari ini.

Mengulas pertemuan sesama sendiri itu, pemain berasal di Kuala Lumpur itu berkata, kedua-dua pasangan bermain cemerlang namun dia dan Aaron lebih konsisten dalam gelanggang.

Biarpun mereka menyingkir pasangan senegara, Malaysia tetap mempunyai dua wakil di suku akhir dan kedua-duanya berada d posisi terbaik untuk melayakkan diri ke Olimpik Paris.

Satu lagi pasangan negara di suku akhir hari ini adalah Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.