GELANGGANG Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 bakal menutup tirainya hari ini, namun amat mengecewakan tiada satupun wakil negara mara ke final.
Axiata Arena boleh diibaratkan menjadi “dewan kemasyhuran” (hall of fame) buat pemain luar terutamanya pemain China yang mempunyai wakil di setiap kategori.
Lebih menyedihkan, hanya seorang pemain negara dalam perseorangan lelaki dan wanita, namun tiada wakil dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di perseorangan wanita sejak beberapa tahun lalu.
BAM yang menjalankan program pembangunan berterusan buntu mencari formula melahirkan pemain perseorangan wanita terbaik, selepas kali terakhir melihat Datin Wong Mew Choo mengharumkan nama negara.

Wong Mew Choo terkenal sebagai pemain yang liat untuk ditewaskan. |Foto Agensi
Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky mengakui betapa negara merindukan susuk tubuh pemain wanita yang boleh menyamai Mew Choo.
“Selagi kita belum ada pengganti Wong Mew Choo… dulu dia juga tidak mempunyai rakan sparring setaraf tetapi boleh memenangi Terbuka China (2007),” kata Rexy.
Pada 2007, Mew Choo mencipta sensasi muncul pemain wanita Malaysia pertama menjulang kejuaraan Terbuka China, malah yang pertama juga meraih gelaran di luar negara.

Matlamat memerlukan usaha yang besar untuk mencapainya. -Rexy Mainaky, Pengarah Kejurulatihan ABM.
Dia menewaskan tiga pemain teratas China dan dunia berturut-turut bermula dengan juara dunia Zhu Lin, pemenang Olimpik dua kali Zhang Ning dan pemain no 1 dunia ketika itu, Xie Xingfang.
“Pemain yang kita ada sekarang suka merungut dalam latihan, penat. Kita mahu mengharapkan mereka mencapai sesuatu dengan usaha bukan merungut.
“Contohnya (K) Letshanaa, jika ditanya dia mahu jadi pemain yang bagaimana, tetapi dia tidak menjalani latihan seperti seharusnya, berlatih sikit mengadu sakit kaki dan mahukan latihan ringan.
“Letshanaa memiliki fizikal yang kuat dan perlu memperkuatkan badannya tetapi hatinya tidak kuat.

K Letshanaa kelihatan lebih kurus dan cergas di gelanggang dalam usaha mendapatkan prestasi terbaiknya.

Wong Ling Ching juga pemain yang bagus namun perlu memiliki kesabaran dalam permainan.
“Wong Ching Ling pula bagus tetapi perlu ada kesabaran. Sekarang kita ada dua lagi pemain muda yang dinaikkan ke skuad senior iaitu Oo Shan Zi dan Siti Zulaikha Muhammad Azmi.. saya lihat jika mereka berdua ini mendapat latihan betul dan sedia menahan latihan keras, mereka berdua boleh pergi jauh,” kata Rexy.
Dalam pada itu, jurulatih berpengalaman asal Indonesia itu membuat perbandingan dengan kemajuan yang ditunjukkan pemain Thailand yang baru berusia 22 tahun, Pornpicha Choeikeewong.

Pornpicha Choeikeewong, 22, dari Thailand dan Tomoka Miyazaki, 19, dari Jepun (gambar bawah)telahpun berjaya beraksi di kejohana Super 1,000.
“Lihat pemain Thailand (Pornpicha) yang selama ini ditewaskan Letshanaa dan Ling Ching, sekarang sudah mampu ke separuh akhir Terbuka Malaysia malah mengalahkan pemain China (Han Yue) di suku akhir. Di mana duduknya pemain Thailand itu sekarang dan di mana kedudukan pemain kita?
“Carolina Marin (Sepanyol) yang mengalami kecederaan ACL lagi di Olimpik, mahu kembali buat kali ketiga… itu dia yang cedera teruk tapi pemain kita tidak cedera teruk tidak tahan latihan,” katanya.
Justeru, beliau memberi bayangan jika sikap seperti beberapa pemain yang sering merungut soal latihan, tidak akan disimpan lama jika mereka berada di China, Jepun, Korea Selatan mahupun Denmark.