PENGENDALI Selangor FC, Tan Cheng Hoe mengakui sukar bagi dia atau mana-mana jurulatih sekalipun untuk menerima keputusan tewas 0-4 kepada Johor Darul Ta’zim namun dia menganggap pemainnya sudah melakukan segala yang terbaik boleh mereka lakukan.

Cheng Hoe turut menyatakan bahawa mereka perlu bekerja lebih keras bagi memastikan mereka mencapai sasaran bermain di peringkat Asia kerana itu adalah harapan penyokong Selangor dan memberikan saingan dalam aksi liga selepas ini.

Dia berkata demikian dalam sidang media selepas Selangor sekali lagi gagal menyaingi JDT dalam aksi separuh akhir Piala FA sekali gus tersingkir dari kejohanan dan terlepas slot ke Asia.

“Seperti yang saya beritahu, JDT memang cukup kuat dari segi transisi serangan mereka dan kami gagal sekat mereka selain kesilapan pertahanan serta gol awal menyebabkan kami sedikit tertekan.

“Ditambah pula dua pertahanan kami yang terpaksa dikeluarkan pada babak pertama, ianya menambah kesukaran tetapi pemain bermain sebagai satu pasukan dan saya tidak boleh merungut tetapi Selangor perlukan karakter yang kuat untuk bersaing dengan JDT selepas ini.

“Mana-mana jurulatih akan rasa kecewa dengan kekalahan empat gol. Kami dihukum dengan sedikit kesilapan dan buatkan kami perlu kerja keras untuk bersaing dengan JDT,” katanya.

“Sasaran utama para penyokong adalah menyaksikan Selangor layak ke pentas Asia tetapi kita tidak boleh ‘give up‘ dan kini masih ditangga kedua liga. Bukan mudah untuk menjadi seperti JDT dan ianya adalah proses yang lama.

“Pemain mampu mengikut arahan barisan kejurulatihan tetapi JDT berada pada satu tahap yang terbaik dan kita akan berusaha sebagai satu pasukan supaya tidak boleh berulang melakukan kesilapan dan kita perlu ‘move on‘ serta belajar dari kesilapan.

“Sebelum dibolosi, kami bermain baik dan beri tekanan pada pertahanan JDT tetapi kami gagal jaringkan gol dan hilang fokus pada perlawanan,” tambahnya.

Selangor FC tewas kepada JDT hasil jaringan hatrik dari Arif Aiman Hanapi dan satu lagi gol daripada Fernando Forestieri sekali gus gagal membalas dendam kekecewaan tewas pada lawan yang sama di final Piala Malaysia musim lalu.