PASUKAN  Inter Miami menerima tamparan awal menjelang sepak mula MLS apabila Lionel Messi disahkan mengalami kecederaan otot hamstring kiri sehingga memaksa jadual aksi terakhir pra-musim pasukan itu ditunda.

Bintang Argentina yang juga pemenang MVP liga dua musim berturut-turut itu tidak menyertai latihan pada Rabu selepas kecederaan berkenaan berlaku ketika aksi persahabatan menentang Barcelona Sporting Club di Ecuador hujung minggu lalu.

Messi sempat mencetak gol dalam perlawanan tersebut sebelum dikeluarkan pada separuh masa kedua, dan pemeriksaan lanjut mengesahkan wujudnya ketegangan pada bahagian otot berkenaan.

Menurut kenyataan kelab, proses kepulangan Messi ke padang latihan akan dibuat secara berperingkat dan bergantung kepada perkembangan klinikal serta tahap pemulihannya dalam beberapa hari terdekat, situasi yang pastinya menimbulkan debar buat penyokong menjelang pembukaan musim pada 21 Februari.

Akibat kecederaan itu, perlawanan pemanas badan menentang kelab Ecuador, Independiente del Valle yang sepatutnya berlangsung Jumaat ini di Stadium Juan Ramon Loubriel, Puerto Rico, turut ditangguhkan ke 26 Februari.