LIONEL Messi akan terus menyarung jersi Inter Miami selepas menandatangani lanjutan kontrak baharu yang akan mengekalkannya bersama kelab Major League Soccer (MLS) itu sehingga penghujung musim 2028.

Pengumuman rasmi dibuat melalui hantaran video di akaun X Inter Miami, yang memaparkan Messi menandatangani kontrak di tengah padang Miami Freedom Park, stadium baharu kelab yang masih dalam pembinaan, dengan kapsyen ringkas: “He’s Home.”

“Saya amat gembira untuk terus berada di sini dan meneruskan projek ini yang bukan sekadar impian, tetapi sudah menjadi satu realiti yang indah – bermain di stadium ini, di Miami Freedom Park,” kata Messi, 38, dalam kenyataan rasmi kelab.

Pemenang Ballon d’Or lapan kali itu berkata, kehidupannya di Miami amat membahagiakan dan dia bersemangat untuk meneruskan perjalanan kariernya bersama kelab milik David Beckham itu.

Kontrak asal Messi dijadual tamat pada penghujung musim 2025, namun lanjutan baharu ini memastikan kapten Argentina itu kekal beraksi sekurang-kurangnya hingga selepas Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

Messi menyertai Inter Miami pada 2023 selepas meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG), dengan sebahagian besar karier gemilangnya dihabiskan bersama Barcelona dari 2004 hingga 2021, meraih 10 kejuaraan La Liga dan empat trofi Liga Juara-Juara Eropah.

Legenda Argentina itu turut memimpin negaranya menjuarai Piala Dunia 2022 di Qatar, serta Copa America pada 2021 dan 2024, menjaringkan 114 gol antarabangsa setakat ini.

Musim ini, Messi terus membuktikan kehebatannya apabila membantu Inter Miami mara ke pusingan play-off dan menutup musim dengan hatrik menakjubkan ketika menewaskan Nashville SC 5-2, sekali gus muncul penjaring terbanyak MLS dengan 29 gol dalam 28 perlawanan.