MESYUARAT Kabinet Jumaat ini bakal menentukan hala tuju kerajaan berkaitan penganjuran Sukan Komanwel 2026.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, sebagaimana dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anuar Ibrahim sebelum ini, kertas kerja yang akan dibentangkan itu mengambil kira dari pelbagai perspektif dan maklum balas dari semua pihak.

“Penting apabila keputusan ini dibuat kami akan bagi jaminan bahawa ia diambil kira dari semua aspek.

“Ia adalah hasil dari maklum balas semua pihak yang menghubungi kami dan kami membaca semua mesej yang disampaikan di media sosial,” katanya.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh meminta semua pihak bersabar sehingga kabinet membuat kata putus mengenai penganjuran Sukan Komanwel.

Tegas Hannah, beliau pasti semua orang menantikan keputusan penganjuran tuan rumah Komanwel ini dan berharap mereka bersabar sehingga PM membuat keputusan hasil daripada perbincangan kabinet itu nanti.

Hannah bagaimanapun tidak mengulas mengenai kemungkinan hak penganjuran bersama dengan Singapura.

“Saya tak boleh mendahului Kabinet dan saya sedar ramai yang menantikan keputusan yang akan dibuat kerajaan.

“Semua akan dibincang secara terperinci di dalam Kabinet nanti dan KBS akan berusaha untuk mendapatkan segala informasi yang diperlukan,” katanya selepas menghadiri majlis pelancaran laluan LTdL 2024.

CGF Malaysia menawarkan diri untuk Kuala Lum;pur menggantikan Victoria sebagai tuan rumah Sukan Komanwel 2026.

Terdahulu Anwar Ibrahim menegaskan bahawa keputusan sama ada Malaysia akan menerima tawaran menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 akan diputuskan minggu depan.

Ketika ini beliau sedang mengumpul segala maklumat berhubung perkara itu KBS Majlis Sukan Negara (MSN) dan badan yang berkaitan.

Tuan rumah Sukan Komanwel 2026 belum diputuskan selepas Victoria, Australia, menarik diri daripada menjadi tuan rumah pada tahun lalu, berikutan peningkatan kos penganjuran yang awalnya bernilai AUD2.6 bilion (kira-kira RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (RM21.78 bilion).

Daripada 74 negara dan wilayah yang menjadi ahli Persekutuan Sukan Komanwel (CGF), hanya England, Kanada, Australia, Wales, New Zealand, Jamaica, Scotland, India dan Malaysia (1998) pernah menganjurkan temasya itu.