KETUA Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam memuji tindakan proaktif pasukan Perak FC dalam usaha untuk membanteras penjualan produk tiruan oleh ‘lanun cetak rompak’.
Menurutnya, ia adalah tindakan yang sewajarnya diambil bagi memastikan kelangsungan pendapatan kelab-kelab yang bertanding dalam Liga Malaysia.
“Ini adalah usaha yang baik pihak pengurusan Perak FC bersama dengan penaja Cheetah dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor untuk mengesan serta menghapuskan penjualan barangan tiruan kelab khususnya jersi rasmi kelab oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ini.
“Bagi MFL tindakan ini akan memberi mesej jelas kepada pihak berkenaan untuk tidak sewenang wenangnya mengeluarkan produk tiruan yang memberi kesan buruk kepada pendapatan kelab-kelab Liga Malaysia serta industri sukan bola sepak negara.
“Adalah tanggungjawab semua pihak termasuk penyokong-penyokong dalam memerangi barangan cetak rompak demi kelangsungan pendapatan serta kestabilan kewangan kelab-kelab,” katanya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh MFL.
ARTIKEL BERKAITAN : Cheetah ambil langkah drastik perangi jualan barangan tiruan
Sebelum ini, Cheetah Malaysia mengambil langkah drastik dalam memerangi jualan barangan tiruan.
Cheetah Malaysia, sebuah syarikat fesyen terkemuka yang menghasilkan jersi pasukan Perak FC, telah bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor untuk mengenal pasti dan membongkar operasi cetak rompak.
“Cheetah sedang mempergiatkan usahanya untuk mengesan dan mencegah barangan tiruan, memantau secara aktif di pasaran atas talian, platform media sosial serta bersedia untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pengusaha,” katanya.