RATU skuasy wanita negara, S Sivasangari perlu terus konsisten untuk menerobos masuk ke kelompok Top 10 dunia.
Sivasangari melonjak ke ranking 15 dunia selepas mempamerkan prestasi memberangsangkan, sebaik menyertai kejohanan selepas Temasya Sukan Asia di Hangzhou, China Oktober lalu.
Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Mejar (B) S Maniam berkata, pencapaian Sivasangari amat menakjubkan selepas mengambil kira pemain berusia 24 tahun itu tidak beraksi dalam mana-mana perlawanan kompetitif lapan bulan lalu.
“Kejayaan Sivasangari menduduki ranking ke-15 adalah pencapaian terbaiknya mengambil kira fakta bahawa lapan bulan lalu dia tidak beraksi di mana-mana kejohanan.
“Dalam tempoh yang singkat, dia menepis segala keraguan menerusi kualiti permainannya. Cabaran seterusnya adalah untuk kekal di kedudukan itu dan naik ke kelompok 10 terbaik, ia pasti melalui proses yang perlahan.
“Jadi dia perlu fokus pada setiap perlawanan dan cabaran semakin sukar. Pemain lain juga akan menghadapi situasi sama,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja bersama Majlis Sukan Negara (MSN).
Sivasangari mempamer kebangkitan cukup ketara selepas terbabit kemalangan kereta Jun tahun lalu yang memaksanya berehat panjang.
Antara kejayaannya selepas kembali beraksi termasuk memenangi pingat emas berganda menerusi acara berpasukan wanita dan perseorangan wanita di Sukan Asia Hangzhou serta menjuarai Kejohanan Skuasy Terbuka Kelab Hong Kong FC bulan lalu, dengan melakukan kejutan ke atas pemain di ranking jauh lebih tinggi daripadanya.
Sementara itu, mengenai mesyuarat hari ini, Maniam berkata, MSN sudah meluluskan sehingga 45 kejohanan pada tahun depan untuk atlet Program Podium serta pelapis.
“Daripada 45 kejohanan itu, setiap pemain boleh sekitar 10 hingga 12 kejohanan. Semua kejohanan sebagai persiapan untuk jangka masa panjang seperti Sukan Asia dan Komanwel,” katanya.