PENCAPAIAN hidup pasti lebih bermakna jika seorang atlet lagenda itu berjaya mencipta seorang legenda masa hadapan.

Itulah impian besar “Man Of The Year 1997” Mohd Zaki Sadri, bekas jaguh lompat kijang dan lompat jauh negara.

Kini memainkan peranan sebagai Pengarah Kejurulatihan Olahraga Terengganu, merangkap jurulatih, hasrat Zaki melahirkan atlet yang lebih baik daripada dirinya, sentiasa menjadi pendorong untuk terus berada dalam bidang ini.

Selepas berkelana, mencari pengalaman berkongsi kepakaran, Zaki kini lega kerana yakin menemui satu sosok badan yang boleh menyinar di pentas olahraga negara.

Baginya, biarpun tidak mampu lahirkan bintang di langit, melahirkan atlet yang boleh bersinar seperti permata.

“Selepas sekian lama, sekarang saya sedang persiapkan seorang atlet yang saya yakin akan menjadi nama besar dalam dunia olahraga kita. Dia baru dua tahun menjalani latihan dengan saya,” kata Zaki.

Muhammad Shahrizal Nasharuddin bersama pingat perak dimenanginya di SUKMA XX lalu.

Atlet yang dimaksudkan adalah Muhammad Shahrizal Nasharuddin Isham baru berusia 21 tahun.

Menurut Zaki, Shahrizal ‘ditemui’ di Kuala Terengganu, seorang anak muda yang giat beriadah dalam apa juga acara sukan termasuk bermain bola sepak namun tidak ada asas dalam acara lompatan.

“Ini buah tangan saya, dari zero tak tahu apa-apa asas, sekarang menang pingat perak di Sukan Malaysia (SUKMA). Lebih membanggakan saya, dia hanya tewas kepada pemegang rekod kebangsaan  Andre Anura@Anuar dari Sabah,” kata Zaki, menceritakan mengenai bintang yang sedang digilapnya.

Muhammad Shahrizal Nasharuddin Isham(kiri) menang pingat perak lompat jauh SUKMA XX, yang menyaksikan Andre Anura (tengah) dari Sabah menang pingat emas dan Muhammad Sunik Muslimin (kanan) juga dari Sabah menang pingat gangsa.

Menurutnya, pada temasya SUKMA lalu, Shahrizal hampir menghadiahkan pingat emas buat Terengganu, namun lompatan kelima atlet terbabit dibatalkan.

Pada SUKMA lalu, Andre memenangi pingat emas dengan lompatan sejauh 7.4m manakala Shahrizal pula 7.25m.

Zaki berkata, dia belum mendedahkan Shahrizal kepada lompat kijang kerana acara terbabit lebih teknikal, dan memerlukan atlet muda itu mahir dengan asas lompat jauh terlebih dahulu.

“Ya, saya yakin dia boleh beraksi dengan baik dalam acara lompat kijang juga, dan saya juga akan perkenalkan dia kepada acara pecut kerana dia sebelum ini tidak pernah mewakili sekolah, daerah mahupun beraksi di kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).

“SUKMA adalah kejohanan pertamanya di peringkat kompetitif. Saya akan pastikan Shahrizal berada dalam kelompok atlet ternama Malaysia dan akan menghantarnya ke baki tiga kejohanan olahraga tempatan dalam usaha melayakkannya ke Sukan SEA Kemboja tahun hadapan,” kata Zaki yang memenangi anugerah Olimpian 1997.

Tambah Zaki, dia gemar melatih atlet yang belum ada pencapaian.

“Ibarat ‘my shadow’, inilah bayang-bayang saya jika anda melihat caranya melakukan lompatan,” ujar Zaki, memuji kemampuan Shahrizal yang mempunyai catatan peribadi terbaik, 7.48m.

Untuk rekod, Andre kini memegang rekod kebangsaan dengan lompatan sejauh 8.02m.

Zaki memegang rekod kebangsaan acara lompat jauh dari tahun 1996 hingga 2008, dengan lompatan sejauh 7.85m.

Dia juga memegang rekod kebangsaan acara lompat kijang dari tahun 1989 hingga 2013, dengan lompatan sejauh 16.29m.

Kini rekod kebangsaan lompat kijang dipegang Muhammad Hakimi Ismail pada jarak 16.77m.

Selepas ini, mereka akan menyertai dua kejohanan terdekat iaitu di Terbuka Melaka 12 hingga 13 November 2022 dan Innotex/Bjss 18 hingga 20 November 2022