KETIKA Iran mengesahkan slot ke Piala Dunia FIFA 2026 sebagai pasukan keenam dari Asia, masa depan Team Melli di pentas terbesar dunia kini dilanda ketidakpastian susulan ketegangan geopolitik yang semakin memuncak.

Konflik yang semakin meruncing, termasuk serangan udara terkini ke atas fasiliti nuklear Iran, mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya peperangan berskala penuh. Sekiranya senario itu menjadi kenyataan, FIFA berdepan tekanan untuk menggantung penyertaan Iran — sesuatu yang pernah berlaku dalam sejarah bola sepak dunia.

FIFA sebelum ini menggantung Rusia susulan pencerobohan ke atas Ukraine dan turut melaksanakan sekatan ke atas Yugoslavia ketika perang Balkan. Dalam konteks yang semakin membara hari ini, Iran berpotensi menjadi negara seterusnya menerima nasib sama.

Meskipun kejohanan bakal berlangsung secara bersama di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada, kehadiran Iran di bumi AS kian diragui. Sekalipun dibenarkan bermain, kemungkinan besar mereka akan tampil tanpa sokongan penyokong sendiri susulan sekatan perjalanan ketat yang dikenakan ke atas lebih 40 negara, termasuk Iran.

Larangan yang dikuatkuasakan sejak pentadbiran Donald Trump itu masih berkuat kuasa dan dijangka tidak dilonggarkan menjelang kejohanan yang bermula Jun 2026. Hanya pemain dan pegawai dijangka boleh memohon pengecualian khas — bermakna penyokong Iran berdepan pintu tertutup di Amerika.

Situasi ini mencetus persoalan keadilan dan konsistensi FIFA dalam mengendalikan isu geopolitik, lebih-lebih lagi apabila negara seperti Israel masih bebas bertanding biarpun turut terlibat dalam konflik serantau yang berpanjangan.

Apapun keputusan FIFA nanti, dunia sedang memerhati — bukan sekadar dari sudut bola sepak, tetapi juga mesej politik dan kemanusiaan yang akan dihantar oleh badan induk sukan terbesar itu kepada dunia.