DUNIA sukan tanah air hari ini bersedih atas pemergian bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Wira Mazlan Ahmad, yang menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada usia 75 tahun.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menyatakan kesedihan beliau yang menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar buat sukan negara.
“Bagi pihak KBS dan MSN, kami mengucapkan salam takziah kepada keluarga Allahyarham. Jasa beliau ketika menerajui MSN amat kami hargai. Semoga ahli keluarga diberi kekuatan menghadapi saat sukar ini,” katanya, selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Pembangunan Sepaktakraw Negara (NSTDP), hari ini.
Allahyarham dikenang sebagai ‘arkitek’ pembangunan sukan negara, termasuk mencetuskan Program Jaya 98 – tunjang utama kejayaan kontinjen Malaysia di pentas antarabangsa suatu ketika dahulu.
Antara legasi terbesar beliau adalah penganjuran Sukan Komanwel 1998 dan Sukan SEA 2001, selain meninggalkan MSN dengan dana lebih RM300 juta sebelum bersara pada 2005.
Sementara itu, Ketua Pengarah MSN yang baharu, Jefri Ngadirin terkesan dengan pemergian Allahyarham, menyifatkan beliau sebagai mentor dan tokoh yang membentuk hala tuju sukan berprestasi tinggi negara.
“Saya pernah diberi kepercayaan oleh beliau memimpin Unit Sukan Teras. Beliau seorang yang tegas, berwawasan dan cukup dihormati. Kehilangan ini sukar diganti,” katanya sebak.
Menurut beliau, Mazlan bukan sekadar pentadbir sukan – tetapi pencetus perubahan. Warisan yang ditinggalkan kekal menjadi asas kepada hala tuju sukan negara hingga ke hari ini.