BEKAS pemain Manchester United, Gary Neville mengakui terkejut dengan pemecatan Ruben Amorim yang terlalu cepat oleh Manchester United, selepas pengurus dari Portugal itu disingkirkan semalam hanya 14 bulan selepas dilantik.
Amorim meninggalkan Old Trafford ketika kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu bergelut di tangga keenam, susulan keputusan seri menentang Leeds kelmarin selepas aksi mengecewakan 1-1 di laman sendiri menentang pasukan tercorot Wolves.
Pengurus berusia 40 tahun itu mencatat peratusan kemenangan terendah iaitu 31.9 peratus berbanding tujuh pengurus yang mengendalikan United sejak pengurus legenda Alex Ferguson berundur pada 2013, tahun terakhir kelab itu menjulang kejuaraan EPL.
Pemecatan Amorim dikatakan susulan ketegangan yang semakin memuncak dengan pengurusan tertinggi United sejak beberapa hari kebelakangan ini, termasuk dengan pengarah bola sepak Jason Wilcox.
Beliau turut mengeluarkan beberapa kenyataan hangat selepas aksi seri di Elland Road, termasuk menegaskan beliau adalah pengurus United dan bukan sekadar “ketua jurulatih.”
Amorim juga secara terbuka memberitahu jabatan pencarian bakat dan Wilcox supaya “menjalankan tugas mereka” dalam penutup sidang media selepas perlawanan yang mencetuskan keraguan besar terhadap masa depannya.
Bekas pertahanan kanan United dan England, Neville yang kini penganalisis televisyen terkenal, berkata kepada Sky Sports News: “Apabila seorang pengurus dipecat, ia mencerminkan kegagalan semua pihak. Ini bermakna sesuatu tidak menjadi.
“Pada akhirnya semua rugi, terutama apabila pemecatan berlaku pada pertengahan musim. Terlalu sukar untuk mendapatkan pengganti yang sesuai.
“Saya terkejut ia berlaku pagi ini, tetapi saya tidak terkejut ia berlaku. Saya tidak menyangka ia berlaku sepantas ini. Saya fikir mereka akan bertahan beberapa minggu lagi untuk cuba mencari penyelesaian.
“Jika lihat prestasi sepanjang sebulan lalu, ia benar-benar mengejutkan. Perlawanan menentang Wolves bagi saya adalah perlawanan penamat. Ia sangat teruk,” katanya.
Bekas pemain tengah United, Paul Scholes pula berpendapat Amorim “mengundang padah” dengan mempersoalkan hierarki kelab dan mencadangkan United melantik pengurus England, Thomas Tuchel sebagai pengganti sepenuh masa selepas Piala Dunia tahun ini pada Jun dan Julai.
“Saya fikir Tuchel antara yang terbaik di luar sana. Beliau sasaran nombor satu saya dan kontraknya bersama England hanya hingga musim panas,” kata Scholes dalam audio siar The Good, The Bad and The Football bersama bekas rakan sepasukan, Nicky Butt.
“Beliau mungkin bersikap panas baran dan agak sukar dikendalikan, tetapi beliau sudah membuktikannya bersama kelab besar.”
Bekas penyerang England, Gary Lineker pula menyifatkan Amorim sebagai individu yang tidak sesuai mengendalikan kelab yang disifatkannya sebagai “kucar-kacir.”
“Pemain tidak sesuai dengan corak permainannya dan kelab patut menyedarinya lebih awal,” kata Lineker kepada audio siar The Rest is Football, sambil menambah: “Kelab ini sudah lama berada dalam keadaan kucar-kacir sejak beberapa tahun lalu.”
Pemain pertahanan United, Harry Maguire turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Amorim menerusi Instagram dengan memuat naik gambar mereka berjabat tangan disertai mesej: “Terima kasih atas segala-galanya, bos. Saya doakan yang terbaik untuk masa depan.” – AFP