KHABAR angin mula bertiup kencang mengenai bekas ketua jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil, yang dikatakan sedang dalam perbincangan untuk menyertai Negeri Sembilan FC sebagai jurulatih baharu.

Menurut sumber terdekat kepada FLASH SUKAN, pihak pengurusan Negeri Sembilan sedang mengadakan rundingan serius dengan Nidzam untuk mengisi posisi penting tersebut dalam usaha mengubah nasib pasukan yang kini bergelut di tangga bawah Liga Super.

Negeri Sembilan FC ketika ini berada di zon bawahan liga dengan hanya memungut sembilan mata setakat ini, sekali gus memerlukan rombakan besar untuk menyelamatkan musim mereka.

Kehadiran Nidzam Jamil, seorang jurulatih berpengalaman yang pernah membawa Selangor FC menunjukkan prestasi kompetitif, dipercayai mampu membawa nafas baharu kepada pasukan.

Nidzam Jamil disebut-sebut bakal bimbing The Jangs.

Nidzam dikenali dengan pendekatan taktikalnya yang kemas serta kemahiran membina pasukan yang lebih tersusun.

Jika pelantikan ini menjadi kenyataan, ia dilihat sebagai langkah strategik pihak pengurusan Negeri Sembilan untuk memperkukuhkan cabaran mereka dalam baki musim ini, sekaligus memberi harapan kepada penyokong Jang yang setia.

Namun begitu, sehingga kini tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh kedua-dua pihak, dan semua masih dalam spekulasi.

Pasukan Negeri Sembilan 2024-2025. FOTO: NSFC

Negeri Sembilan kini berdepan tekanan besar untuk memastikan survival mereka dalam liga, dan peminat pastinya mengharapkan pengumuman positif tidak lama lagi.

FLASH SUKAN akan terus mengikuti perkembangan terkini mengenai situasi ini dan menyediakan kemas kini eksklusif buat pembaca.

Adakah Nidzam Jamil bakal menjadi arkitek kebangkitan Negeri Sembilan FC? Sama-sama kita nantikan!