KEHADIRAN Nova Widianto akan memberi impak besar kepada skuad beregu campuran kebangsaan.

Keyakinan itu disuarakan bekas pemenang pingat perak Sukan Olimpik Brazil 2016, Goh Liu Ying bersandarkan corak permainan diamalkan Malaysia dan Indonesia, agak sama.

Liu Ying percaya kehadiran juara dunia dua kali dari Indonesia yang dilantik sebagai jurulatih beregu campuran kebangsaan, akan memberi manfaat baik kepada pemain negara.

Liu Ying, 33, memenangi pingat perak beregu campuran Sukan Olimpik Rio 2016 bersama Chan Peng Soon berkata, Nova juga memiliki pengalaman luas melatih beregu campuran kebangsaan Indonesia, sebelum ini.

Bekas juara dunia dua kali dan pemenang pingat perak Sukan Olimpik dari Indonesia,Nova Widianto akan melapor diri kepada Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM, Rexy Mainaky bermula 1 Januari 2023.

“Berdasarkan cara permainan mereka (Indonesia), ia sangat sesuai dengan pemain Malaysia. Cara permainan kita dengan Indonesia dalam acara beregu campuran sebenarnya agak mirip dan ini sesuatu yang boleh dipelajari oleh pemain negara untuk meningkatkan lagi prestasi mereka.

“Jika dibandingkan dari aspek kemahiran, pemain Indonesia memang lebih baik berbanding Malaysia. Jadi, saya fikir keputusan BAM (Persatuan Badminton Malaysia) melantik Nova adalah sesuatu yang bagus untuk perkembangan pemain negara dalam acara beregu campuran,” katanya, ditemui selepas sesi latihan, di gelanggang badminton Endah Parade pada Khamis.

Meskipun sudah bergelar pemain profesional, Goh Liu Ying tetap prihatin dengan skuad kebangsaan dan memuji BAM mengambil Nova Widianto sebagai jurulatih beregu campuran yang disifatkan keputusan tepat dalam usaha memajukan beregu campuran Malaysia.

Peng Soon berkongsi pengalamannya pernah menentang Nova dalam gelanggang.

“Nova bagi saya seorang yang mempunyai kemahiran tinggi, ‘timing’.. tempo sangat bagus dalam gelanggang, dia seorang pemain yang boleh mengawal perlawanan dengan baik, jadi saya rasa pengalamannya pasti berguna buat pemain muda,” kata Peng Soon.

Chan Peng Soon sifatkan pelantikan Nova Widianto sebagai jurulatih beregu campuran kebangsaan, menambah kemeriahan sukan badminton antarabangsa tahun hadapan.

Semalam, BAM mengumumkan pelantikan Nova, 45, sebagai jurulatih beregu campuran negara yang baharu dan akan melaporkan diri kepada Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM, Rexy Mainaky pada 1 Januari ini.

Ketika bergelar pemain, Nova dua kali muncul juara dunia beregu campuran bersama pasangannya Liliyana Natsir pada edisi 2005 dan 2007 selain memenangi pingat perak Sukan Olimpik Beijing 2008.

ARTIKEL BERKAITAN : Nova Widianto jurulatih baharu beregu campuran

Nova sebelum ini memikul tanggungjawab sebagai ketua jurulatih beregu campuran Indonesia di bawah Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI).