KEGEMBIRAAN ketua jurulatih Arsenal, Mikel Arteta, tidak kekal kerana pasukannya naik ke tangga teratas Liga Perdana Inggeris pada Sabtu bertukar suram apabila kaptennya, Martin Odegaard, sekali lagi mengalami kecederaan ketika kemenangan 2-0 ke atas West Ham di Stadium Emirates.
Pemain antarabangsa Norway itu mencatat rekod tidak diingini apabila menjadi pemain pertama dalam sejarah Liga Perdana yang digantikan sebelum separuh masa dalam tiga penampilan berturut-turut sebagai kesebelasan utama.
Odegaard sebelum ini turut dikeluarkan lebih awal dalam kemenangan ke atas Leeds dan Nottingham Forest akibat masalah bahu.
Pemain berusia 26 tahun itu kelihatan sudah pulih selepas mempamerkan aksi cemerlang dalam kemenangan 2-0 Arsenal ke atas Olympiakos dalam saingan Liga Juara-Juara pertengahan minggu lalu.
Namun, beliau sekali lagi terpaksa dikeluarkan pada minit ke-30 selepas bertembung lutut dengan pemain West Ham, Crysencio Summerville.
“Saya rasa dia bertembung lutut dengan lawan dan serta-merta berasa tidak selesa. Saya baru bercakap dengannya dan dia tidak begitu positif tentang keadaannya.”
“Kita perlu tunggu dan lihat sejauh mana kecederaannya. Kami perlu cari penyelesaian, tapi sudah tentu dia kapten kami dan pemain yang memberikan dimensi berbeza kepada pasukan, terutamanya dalam serangan. Harap kecederaannya tidak serius,” kata Arteta, yang mendedahkan Odegaard memakai pendakap lutut selepas perlawanan.
Selain kecederaan itu, Arteta tetap berpuas hati meraikan penampilan ke-300 sebagai ketua jurulatih Arsenal, apabila pasukannya kini mendahului Liverpool dengan satu mata, selepas The Reds tewas buat kali ketiga berturut-turut kepada Chelsea.
“Saya ingin berterima kasih kepada semua, terutama barisan kejurulatihan saya yang setia bersama sejak hari pertama. Tanpa mereka, mustahil untuk melakukan kerja ini dan menikmatinya,” tambah Arteta.
“Saya mahu meraikan perlawanan ke-300 ini dengan kemenangan, dan kami berjaya. Kini kami ada rehat antarabangsa untuk menikmatinya dan gunakan masa itu untuk membuat persiapan kerana tempoh selepas rehat nanti pasti lebih mencabar.”