TIADA lagi sasaran ditetapkan buat dirinya dalam menghadapi saingan Terbuka Malaysia minggu hadapan, namun Chan Peng Soon berharap dia dan gandingan, Cheah Yee See dapat meninggalkan kenangan yang manis untuk aksi terakhirnya di Axiata Arena, minggu hadapan.

Peng Soon-Yee See dijadual menentang pemain ranking ke-35 dunia dari Taiwan, Chang Ko Chi-Lee Chih Chen pada pusingan pertama, dan dijangka tidak berdepan masalah untuk mara ke pusingan berikutnya, kerana memiliki kelebihan menang dua pertemuan sebelumnya.

Bergandingan dengan Cheah Yee See di Terbuka Malaysia, suatu yang berbeza bagi Chan Peng Soon berbanding Goh Liu Ying.

“Bagi saya, rekod pertemuan tidak penting lagi, semuanya bergantung kepada prestasi di atas gelanggang pada hari pertandingan.

“Paling penting, apa yang saya dan Yee See lakukan dalam latihan, dapat diterjemahkan dalam gelanggang, itu sahaja yang saya mahukan,” kata Peng Soon.

Tahun lalu, Peng Soon beraksi bersama Goh Liu ying buat kali terakhir, tewas di pusingan pertama, namun kali ini, aksi terakhirnya pula pada Terbuka Malaysia.

Chan Peng Soon mengakui, saingan beregu campuran terlalu hebat ketika ini.

Mengulas mengenai peluang untuk mara lebih jauh, Peng Soon tidak membayangkan kemungkinan itu lagi berikutan saingan beregu campuran terlalu sengit.

“Kalau dulu, kita berada dalam Top 8 atau Top 10 dunia, dikira berada di tahap yang tinggi, pemain di ranking ke-11-32 pula lemah sedikit.

“Tetapi sekarang berbeza, semnua Top 32 sama hebat dan sudah meningkat, tiada satu beregu yang boleh yakin dapat menang mudah,” kata Peng Soon yang sudah mengibarkan bendera putih untuk merebut slot ke Olimpik Paris.

Menurutnya, dia sudah berpuas hati dengan tiga kali penampilan di Temasya Olimpik, London (2012), Rio (2016) dan Tokyo (2020) dengan meraih satu pingat perak di Brazil.