PENGENDALI Manchester United, Ruben Amorim enggan meletakkan kesalahan sepenuhnya ke atas Andre Onana meskipun penjaga gol itu menjadi punca utama pasukannya sekadar seri 2-2 menentang Lyon dalam aksi suku akhir pertama Liga Europa, awal pagi tadi.

Onana dibolosi dua kali menerusi sepakan percuma Thiago Almada dan jaringan penyamaan lewat permainan oleh Rayan Cherki, sekali gus mencetuskan semula kritikan terhadap prestasinya musim ini.

Statistik turut menunjukkan tiada penjaga gol Liga Perdana Inggeris yang lebih banyak melakukan kesilapan sehingga membawa kepada jaringan lawan sejak musim lalu selain Onana.

Namun Amorim kekal mempertahankan pemainnya itu.

“Kesilapan sebegini memang boleh berlaku. Saya sendiri banyak buat silap musim ini.

“Cara terbaik untuk bantu pemain seperti Onana ialah fokus pada perlawanan, nilai setiap aksi dan lihat apa yang boleh diperbaiki,” kata Amorim.

United sebenarnya hampir mencipta kelebihan di tempat lawan selepas jaringan Leny Yoro dan Joshua Zirkzee meletakkan mereka di depan sebelum Lyon menyamakan kedudukan pada saat akhir.

Bagaimanapun, keputusan seri itu mengekalkan rekod tanpa kalah Red Devils dalam kempen Liga Europa musim ini, menjadikan mereka satu-satunya pasukan yang masih belum tewas.

Dengan baki aksi timbal balik di Old Trafford minggu depan, Amorim kekal optimis.

“Separuh masa pertama kami sukar menekan kerana Lyon main dengan cara berbeza.

“Tapi kami mula kuasai perlawanan pada penghujung babak pertama dan sepanjang separuh masa kedua. Aksi di Manchester nanti pasti berbeza penyokong mahu kami tekan sepanjang masa,” ujarnya.