Victor Osimhen menegaskan fokus utamanya adalah menjulang kejuaraan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON), bukannya mengejar status penjaring terbanyak sepanjang zaman Nigeria selepas membantu Super Eagles menewaskan Algeria 2-0 pada aksi suku akhir, awal pagi tadi.
Penyerang bertopeng itu membuka jaringan Nigeria di Marrakesh menerusi gol ke-35 dalam 51 penampilan antarabangsa, sebelum mencipta bantuan jaringan buat Akor Adams bagi gol kedua ketika pasukan itu mara ke separuh akhir menentang tuan rumah Maghribi.
Osimhen kini hanya dua gol di belakang rekod kebangsaan 37 gol milik legenda Nigeria, Rashidi Yekini yang membantu negaranya menjuarai AFCON 1994 serta beraksi di dua Piala Dunia.
“Tidak sama sekali,” kata Osimhen apabila ditanya sama ada rekod itu bermain di fikirannya menjelang baki perlawanan AFCON.
“Saya sudah banyak kali katakan, sama ada saya menyamai atau memecahkan rekod itu bukan keutamaan,” kata bekas penyerang Napoli itu yang meledak sembilan gol dalam lapan penampilan antarabangsa terakhirnya.
“Menjadi sebahagian daripada sejarah Nigeria memang sesuatu yang istimewa, tetapi saya lebih mahu memenangi sesuatu untuk negara saya.”
Osimhen, yang sudah menjaringkan empat gol dalam empat perlawanan terakhir AFCON, menambah keyakinannya kini berada di tahap tinggi hasil sokongan rakan sepasukan.
“Saya yakin dengan cara permainan saya dan bantuan rakan sepasukan, tetapi bagi saya ini bukan soal gol atau bantuan jaringan, sebaliknya untuk memenangi sesuatu bersama pasukan ini.
“Kami berada di landasan tepat, namun perjalanan ini tidak akan mudah.”
Nigeria akan menentang Maghribi pada separuh akhir Rabu ini di Rabat, bandar yang menyaksikan impian Piala Dunia mereka berkubur selepas tewas menerusi penentuan penalti kepada DR Congo, November lalu. – AFP