AMAT wajar untuk mengatakan malam tadi adalah milik Johor Darul Ta’zim (JDT).
Ini kerana JDT telah membuktikan kelab dari Malaysia bukan sahaja memiliki kualiti tetapi potensi tersendiri selepas kejayaan menumbangkan kelab No. 1 Korea Selatan, Ulsan Hyundai FC 2-1 pada aksi kedua Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Bagaikan ikon bertemu ikon, skuad Harimau Selatan berjaya muncul sebagai pendahulu kumpulan dengan kelebihan enam mata selepas meraih tiga mata berharga terhadap juara ACL edisi 2020 itu.
Dalam aksi itu, penyerang berbisa JDT, Fernando Forestieri yang dianggarkan memiliki nilai pasaran sebanyak 900,000 euro (RM4.1 juta) menurut tranfers market, mudah membolosi gawang yang dijaga ketat penjaga gol Piala Dunia 2018, Jo Hyeonwoo seawal minit ketiga.

Fernando Forestieri. Foto: JDT
Um Won-sang menyamakan kedudukan pada minit ke-52 tetapi peledak berbisa Harimau Selatan bernilai 450,000 euro (RM2 juta) memastikan kemenangan mutlak kekal di bumi Johor selepas meledak gol berbaki 10 minit terakhir perlawanan.
Pengendali JDT, Benjamin Mora sudah pasti menjadi watak paling gembira dengan kemenangan Harimau Selatan ke atas gergasi Korea Selatan, Ulsan Hyundai 2-1 dan beliau tanpa berselindung mahu pemain-pemainnya meraikan kemenangan malam ini sebelum kembali fokus kepada aksi perlawanan ketiga bertemu Kawasaki Frontale.

Benjamin Mora. Foto: JDT
“Apa yang penting sekarang adalah kami perlu menikmati kemenangan ini. Ianya umpama perlawanan akhir buat kami. JDT bukanlah gergasi di ACL dan juga bukanlah gergasi di Asia.
“Kami cuba lakukan yang terbaik dan komitmen yang ditunjukkan oleh setiap pemain sangat besar dan percaya boleh lakukannya dan mampu mencipta sebarang kemungkinan. Kami menyerap tekanan sebelum kami kembali untuk gol kedua,”ujarnya pada sidang media selepas perlawanan.
Apa yang pasti, kejayaan itu bukan sahaja dibangga oleh penyokong Johor sahaja tetapi penulis percaya kegembiraan itu turut dikongsi bersama dengan peminat-peminat bola sepak tempatan yang lain di mana kemenangan JDT itu telah membuktikan satu penanda aras baharu dalam sejarah bola sepak negara.
Sejak bermain lapan tahun berturut-turut dalam kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) baik di peringkat Piala AFC dan ACL, JDT dengan program pembangunan serta projek visi dan misi jelas menunjukkan satu tanda kematangan dalam beraksi dalam kancah kejohanan elit Asia.
Pertama, penulis tabik kepada kepimpinan di bawah Tunku Mahkota Johor (TMJ) merangkap pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang jelas memberikan signal tersendiri di mana jika ada kemahuan di situ ada jalan.

Momen Tunku Ismail sebaik sahaja JDT menang ke atas Ulsan Hyundai. Foto: Instastory
Bukan apa, penulis percaya kemenangan JDT pada malam ini bukan sahaja menyaksikan wakil Malaysia bukan sekadar jaguh kampung sebaliknya ia juga membuktikan bahawa pemain-pemain tempatan juga memiliki kualiti tersendiri dalam beraksi di dalam kejohanan tertinggi Asia seperti ACL ini sekali gus ia telah memberikan harapan dan sinar kepada kelab-kelab Liga Malaysia yang lain.
Tahun ini, kita dapat melihat laluan skuad kendalian Benjamin Mora untuk melepasi peringkat kumpulan sedikit cerah dan sudah pasti kejayaan JDT ini diharap turut dapat dikongsi dengan dua lagi kelab Liga Malaysia yang bermain di Piala AFC iaitu Kedah Darul Aman dan Kuala Lumpur City FC.
Cuma penulis berharap untuk aksi akan datang, penyokong-penyokong terutama JDT hadirlah memenuhi perkarangan Stadium Sultan Ibrahim sekali gus dapat meniup lagi api semangat pemain-pemain Harimau Selatan.
Sebab Harimau Selatan sudah lain macam!