KARAKTER pemain bola sepak kebangsaan benar-benar mengejutkan Kim Pan-gon selepas mencipta kemenangan sensasi ke atas Hong Kong pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rabu malam.

Malahan, kejayaan itu membolehkan pasukan Harimau Malaya memperoleh 5.15 mata ranking FIFA.

Pada pertemuan itu, dua gol dicetak menerusi gerakan bola mati, satu daripada penalti Safawi Rasid dan sepakan percuma cantik Safiq Rahim di setiap babak.

“Permainan agresif yang saya cuba bentuk untuk para pemain menjadi. Dengan disiplin, komitmen, konsistensi dan dedikasi maka terhasillah keputusan ini.

“Para peminat juga gembira, mereka telah memberikan segala usaha dan semangat. Jadi saya perlu puji barisan pemain,” katanya semasa sidang media selepas perlawanan.

Walaupun begitu, jurulatih kelahiran Korea Selatan ini memberitahu sepatutnya lebih banyak lagi jaringan terhasil ke gawang Hong Kong.

Beberapa peluang keemasan hadir seperti Akhyar Rashid dan Darren Lok semasa mereka beraksi tetapi gagal diterjemahkan dalam bentuk gol.

“Kita perlu bagi mereka masa lagi, sudah lama Malaysia tidak bermain seperti ini dan kita perlu berikan mereka masa,” kata Pan-gon yang belum lagi menamakan barisan penuh 23 pemain senarai pendaftaran akhir menghadapi kempen kelayakan Piala Asia 2023.

Sementara itu, pengendali Hong Kong Jorn Andersen mencari alasan kekalahan merungut mengenai kualiti padang di Stadium Nasional Bukit Jalil yang menyukarkan pemainnya mencari rentak permainan sepanjang 90 minit.

Dia juga kecewa dengan mutu pengadilan yang dilihat tidak berpihak kepada Hong Kong sehingga boleh bolos dua jaringan dari pemain tuan rumah.

“Tapi saya tidak mahu terlalu negatif. Pada saya ia satu ujian yang baik dan berharap pemain dapat mempelajari sesuatu daripada perlawanan,” ujarnya.

Ujian sebenar negara bermula pada kempen Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia bertemu Turkmenistan pada 8 Jun, diikuti menentang Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun) di mana kesemua perlawanan akan berlangsung di Bukit Jalil.