RATU terjun kebangsaan, Datuk Pandelela Rinong akan meneruskan persiapan bermula esok bagi menghadapi Kejohanan FINA Diving Grand Prix 2022 yang bakal dilangsungkan di Kuala Lumpur bermula 25 hingga 27 November ini.
Mengulas tentang kegagalannya dalam Sukan Komanwel baru-baru ini, beliau menganggap nasibnya agak malang kerana gagal menghadirkan sebarang pingat buat negara, namun penerjun berusia 29 tahun itu tidak berasa kesal kerana telah menjalani latihan dan persiapan yang padat seperti sediakala.
Menyedari Sukan Olimpik Paris 2024 sudah semakin dekat, beliau berazam menebus kekecewaan di Sukan Komanwel Birmingham baru-baru ini dengan cuba meningkatkan konsistensi dalam terjunannya serta cuba mengelakkan sebarang kecederaan.

Jolene Knight dan Yong-Chul Yun menyampaikan sepatah dua kata semasa Majlis Perasmian NFT ‘P. Zero1’.
“Sekarang ini adalah hari terakhir cuti saya. Esok saya akan mulakan latihan semula. Kejohanan yang terdekat mungkin KL Diving Grand Prix pada bulan November tahun ini sekiranya tiada halangan.
“Bak kata saya, sebelum ke Komanwel, apa-apa pun boleh terjadi, kadang-kadang beruntung, kadang-kadang tidak bernasib baik. Saya tidak menyesal sebab saya telah berlatih seperti biasa cuma mungkin persiapan agak tergesa-gesa.
“Saya juga harus jaga keadaan fizikal sebab saya pun tidak semakin muda. Masih dalam pemulihan dan saya akan kembali buat saya rehabilitasi.

Pandelela Rinong hadir bersama empat tokoh korporat yang menjayakan majlis hari ini.
“Harapan saya untuk Olimpik Paris sudah semestinya saya ingin layak dahulu. Paling penting, saya akan fokus kepada kejohanan demi kejohanan. Saya juga ingin lebih konsisten dan mengelakkan kecederaan,” katanya ketika ditemubual wartawan dalam Majlis Perasmian NFT ‘P. ZERO1’ di Quill City Mall, Kuala Lumpur.
Sementara itu, Datuk Pandelela terlebih dahulu mengumumkan koleksi NFT eksklusifnya ‘P. Zero1’ melalui syarikat pengurusannya, Knight Communications dengan kerjasama Prime Sports International bermula 24 hingga 31 Ogos 2022.
Koleksi NFT tersebut tersedia untuk lelongan melalui pasaran NFT Digital, OpenSea yang memberi peluang kepada para peminat membuat bidaan bagi menjadi pemilik tunggal NFT yang menawar pengalaman peribadi tidak ternilai bersama Pandelela serta cetakan berbingkai NFT yang akan dihantar sendiri oleh atlet itu.
“Sebenarnya, saya sudah lama memikirkan cenderahati untuk pengikut saya. Ramai yang tanya bila hendak mengeluarkan cenderahati untuk penyokong seperti buku atau T-Shirt.

Lakaran wajah Pandelela Rinong serta tandatangannya.
“Saya terfikir juga tetapi saya mahukan cenderahati penyokong lain dari yang lain. Jadi apabila masa pandemik saya banyak belajar tentang pelaburan ataupun soft skills.
“Saya nampak yang cryptocurrency, mereka ada Tiktok aset baru iaitu NFT. Jadi saya pun nampak ia dekat dengan saya, unik dan saya ingin mengeluarkan salah satu NFT untuk saya dan penyokong. Mereka banyak menyokong saya ketika saya jatuh dan bangun dan inilah penghargaan daripada saya buat penyokong.
“Saya mahu ia jadi sesuatu yang berharga di mana penyokong boleh beli dan menjual semula. Ia juga boleh menjadi aset kepada mereka. Saya juga ingin memberi inspirasi kepada golongan muda ataupun atlet-atlet supaya mereka boleh melihat NFT adalah satu pelaburan atau perkara yang boleh diceburi untuk menambahkan pendapatan mereka,” ujarnya.
Turut menghadiri majlis tersebut adalah Pengasas dan Pengurus Jenama Knight Communications, Jolene Knight, Pengasas Prime Sports International (PSI), Yong-Chul Yun dan Artis Digital, Nicholas Chuan.