PENDEKATAN sama akan menghasilkan keputusan yang sama.

Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang percaya projek Road to Gold (RTG) mampu mengatasi kelemahan Program Podium, dalam memastikan keperluan atlet negara memburu pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024 dan Los Angeles 2028 tercapai.

Azizulhasni yang diberi julukan ‘The Pocket Rocketman’, berkata, Jawatankuasa RTG yang dibarisi individu berpengalaman akan dapat memudahkan atlet untuk mendapatkan bantuan dan sokongan yang diperlukan.

“Saya menyambut baik program ‘Road to Gold’ ini dan sudah pasti jawatankuasa terpilih ini adalah individu yang mempunyai kredibiliti, pengalaman dan pengetahuan. Saya harap program ini dapat memberi impak secara terus kepada atlet.

“Bagi saya kita memerlukan orang-orang seperti ini. Mereka yang terpilih ini pernah terbabit secara langsung dan tidak langsung malah pengalaman mereka cukup luas terutama beraksi di tahap tertinggi.”

Menurutnya lagi, bekas atlet yang dipilih berada dalam jawatankuasa terbabit, mempunyai pengalaman luas mengenai keperluan sebenar atlet yang akan ke Sukan Olimpik dan mereka tahu batasan atau sekatan untuk membantu atlet ini mampu beraksi pada tahap tertinggi.

Atlet lain yang turut layak ke Olimpik Paris 2024 mesti berjuang mendapatkan pingat emas.

“Saya juga terlibat dalam pelbagai program dan saya tidak kata program yang dirangka sebelum ini tidak bagus tetapi jika membawa pendekatan lama akan menghasilkan hasil yang sama. Bagi saya ini adalah inisiatif baharu yang diharapkan dapat memberi anjakan paradigma kepada atlet-atlet negara.”

Pemenang tiga pingat perak Olimpik Tokyo 2020 itu berkata, pembaharuan besar yang baharu diperlukan agar negara dapat merealisaskan pingat emas pada temasya Sukan Olimpik nanti.

Azizulhasni mengakui, dia turut meletakkan keazaman tinggi untuk membawa pulang pingat emas buat Malaysia kerana Paris 2024 bakal menjadi temasya Sukan Olimpik terakhirnya sebelum melepaskan tugas seterusnya kepada atlet pelapis negara.

“Saya sudah berusia dan Paris 2024 nanti adalah Sukan Olimpik terakhir saya. Kalau boleh saya mahu bawa pulang emas buat kontinjen Malaysia tetapi saya juga menaruh harapan kepada atlet-atlet lain untuk membawa pulang emas.

“Saya harap dengan adanya program Road to Gold ini dapat menyuntik semangat baharu kepada seluruh atlet dan membuka peluang merealisasikan impian terutama membutirkan pingat emas pada temasya empat tahun sekali itu,” katanya.