BANYAK kesilapan mudah mengundang padah buat beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah apabila tersingkir awal pada Kejohanan Badminton Seluruh England (All England).
Mereka dihantar keluar beregu Jepun Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dengan kekalahan 13-21, 21-15, 15-21.
Kekalahan tersebut menyaksikan juara Terbuka Perancis tahun lalu itu gagal meneruskan aksi konsisten selepas melangkah ke pusingan separuh akhir pada kejohanan Terbuka Jerman minggu lalu.
Jurulatih beregu wanita kebangsaan, Hoon Thien How tanpa berselindung mengakui, anak-anak buahnya itu menampilkan aksi di bawah paras sebenar apabila membenarkan pasukan lawan menguasai sepenuhnya perlawanan tersebut.

Pearly Tan-M Thinaah meneruskan cabaran di Terbuka Switzerland selepas ini.
“Hari ini set pertama agak kurang kerana banyak kesilapan yang dilakukan sehingga membolehkan pasukan lawan mendapat mata mudah. Kemudian, mereka dapat memperbaiki permainan di set kedua dan menang.
“Memasuki set ketiga, kita bermain baik sehinggalah kedudukan 11-10, kita cuba untuk matikan permainan tetapi tidak berjaya. Mungkin pada ketika itu, fokus sudah mula terganggu,” kata Thien How.
Pada masa sama, Thien How turut menganggap kekuatan setiap pemain pada ketika ini hampir sama biarpun Pearly-Thinaah diletakkan sebagai pilihan kelima di kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 1,000 itu.
Justeru, dia hanya mengharapkan aksi terbaik daripada anak-anak buahnya setiap kali turun ke gelanggang kerana menganggap setiap perlawanan sentiasa menjanjikan aksi sukar buat mereka.
Pearly dan Thinaah akan meneruskan cabaran di Terbuka Switzerland yang akan berlangsung 21 hingga 26 Mac ini.