“BILA nak habis ni”… itulah perkara yang bermain dalam fikiran Pearly Tan dan M.Thinaah ketika terpaksa bermain rali 211 pukulan sewaktu mendahului Rena Miyaura-Ayako Sakuramoto (Jepun), dalam set penentuan pada kedudukan 16-14.
Jika penonton berasa penat menantikan bulu tangkis dimatikan, pastinya Pearly dan Thinaah jauh lebih lelah mahu menghabiskan perlawanan itu.
Jumlah 211 pukulan yang dimainkan untuk Pearly dan Thinaah meraih mata ke-17 itu, dipercayai mencipta rekod baharu pukulan rali, mengatasi rekod yang dicatatkan di Korea Masters 2022, membabitkan perlawanan Baek Ha Na-Lee Yu Rim (Korea) menentang Du Yue-Li Wen (China) iaitu 195 pukulan.
“Apabila rali itu berakhir dan kami mendapat mata, saya sangat teruja kerana sangat memenatkan, kami hanya mahu habiskan rali dengan cepat.
“Saya melambung dan campak raket itu satu perkara, saya mahu lengahkan masa kerana untuk mengambil semula raket akan memakan masa, ada masa untuk saya rehat,” kata Thinaah selepas perlawanan yang berlarutan 1 jam 29 minit.
Pada perlawanan pusingan kedua itu, Pearly-Thinaah menang ke atas Rena-Ayako 21-17, 18-21, 21-19.
Ketika ditanya sama ada mahu mencipta rekod pukulan rali terbanyak, Thinaah menjawab: “Harap dapat matikan permainan dengan lebih cepat.”
Perlawanan pusingan kedua itu membuktikan kata-kata Pearly-Thinaah, kelmarin yang membayangkan setiap kali berdepan gandingan Jepun memerlukan persediaan mental dan fizikal.
Kemenangan itu membawa gandingan negara ke suku akhir Masters Malaysia 2023 dan akan berdepan satu lagi pasangan Jepun, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota pada Jumaat.
Yuki-Sayaka berjaya mara ke suku akhir selepas menang ke atas Lee Yu Lim-Shin Seung Chan dari Korea Selatan 21-16, 21-9.
Berdasarkan rekod pertemuan Pearly-Thinaah ketinggalan 2-3 dengan lawan yang menghuni ranking kesembilan dunia itu.
“Memang berasa penat, tapi gembira bila perlawanan sudah habis kerana dapat mencatat kemenangan hari ini,” kata Pearly yang mengalami sedikit luka di bahagian kaki selepas terjatuh di set ketiga.
Sementara itu Thinaah mengakui bahawa lawan sudah membaca permainan mereka di set kedua, namun mereka tidak membuat banyak perubahan.
“Apabila di set ketiga kami fokus bahagian kami dan memberikan segala-galanya dalam gelanggang,” kata pemain kelahiran Selangor itu.
Kemaraan Pearly-Thinaah yang menghuni tangga ke-11 dunia, setidak-tidaknya mengubat kekecewaan di Terbuka Malaysia Januari lalu selepas mereka tersingkir di pusingan pertama.
Tahun ini, penyandang juara Terbuka Perancis itu empat kali mara ke separuh akhir iaitu di Terbuka India, Masters Indonesia, Terbuka Jerman namun selain Terbuka Malaysia, mereka juga tersingkir di pusingan pertama Seluruh England dan Terbuka Switzerland.
Dalam kejohanan yang sama (Malaysia Masters) tahun lalu, Pearly-Thinaah berjaya melangkah ke separuh akhir sebelum tumpas kepada Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dari China 21-10, 21-19.