Pemain sayap Chelsea, Pedro Neto, berdepan tindakan disiplin daripada UEFA selepas menolak seorang budak pengutip bola ketika kekalahan 5-2 kepada Paris Saint-Germain dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi.

Insiden itu berlaku dalam masa kecederaan di Parc des Princes apabila Neto menolak budak berkenaan sehingga terjatuh ke kerusi berhampiran, sekali gus mencetus sedikit kekecohan antara pemain kedua-dua pasukan.

UEFA dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan tindakan disiplin sudah dimulakan terhadap pemain berusia 26 tahun itu atas kesalahan yang disifatkan sebagai “kelakuan tiada semangat kesukanan”.

Neto bagaimanapun segera memohon maaf di atas tindakannya.

“Saya mahu memohon maaf kepada budak pengutip bola itu. Saya sudah bercakap dengannya.

“Saya bukan seorang yang bersikap begitu. Ia berlaku dalam keadaan panas perlawanan dan saya benar-benar minta maaf. Saya juga memberikan jersi saya kepadanya,” kata Neto kepada TNT Sports.

Pengendali Chelsea, Liam Rosenior, turut memohon maaf di atas insiden berkenaan.

“Jika ada perkara dari pihak kami yang tidak wajar, saya memohon maaf bagi pihak kelab,” kata Rosenior.

Dalam perlawanan itu, PSG kendalian Luis Enrique mendahului dua kali menerusi jaringan Bradley Barcola dan Ousmane Dembele.

Chelsea bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan menerusi Malo Gusto dan Enzo Fernandez sebelum PSG memastikan kemenangan hasil jaringan Vitinha serta dua gol Khvicha Kvaratskhelia.

Kekecewaan Chelsea jelas kelihatan selepas wisel penamat apabila penjaga gol Filip Jorgensen cuba terus masuk ke bilik persalinan sebelum dipujuk rakan sepasukan Robert Sanchez untuk kembali memberi penghargaan kepada penyokong yang hadir.

Chelsea dijadual menentang Newcastle United dalam saingan Liga Perdana Inggeris pada Sabtu ini sebelum menerima kunjungan PSG dalam aksi timbal balik pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara pada Selasa depan. – REUTERS