BAGAIKAN melepaskan geram selepas terpaksa berehat panjang daripada aktiviti fizikal, ketika menghidap kanser, sekumpulan pejuang kanser (cancer survivor) membuktikan mereka mampu kembali cergas dan aktif.
Kumpulan yang bernaung di bawah Kelab Perahu Naga Pink Challengers, terdiri daripada sekumpulan pejuang kanser payudara seramai 60 orang, terus berkembang sejak mula ditubuhkan pada 2005.
Melalui aktiviti sukan, kumpulan ini seumpama mendapat “nyawa” baharu apabila menyertai pelbagai kejohanan, baik tempatan mahupun bertaraf antarabangsa.
Bermula dengan Kejohanan Antarabangsa Suruhanjaya Pendayung Kanser Payudara (IBCPC) di New Zealand, April 2023, Kelab Perahu Naga Pink Challenger tidak menoleh ke belakang lagi dan mula melakar kejayaan enam bulan selepas itu.
Kelab terbabit meraih satu kejuaraan pada Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa Sarawak (SIDBR) 2023 dalam kategori Pejuang Kanser Terbuka, selain turut mengambil bahagian dalam acara Premier Wanita (200m) dan Premier Campuran.
Selain itu, kelab terbabit turut mencatat beberapa kejayaan menerusi pelbagai penyertaan termasuk memenangipnigat gangsa Penang Mini Race (campuran 12), Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa Hong Kong, Regatta Asia Tenggara Singapura, Kejohanan Sukan Air Putrajayadan Perlumbaan perahu Naga Antarabangsa Pulau Pinang, sepanjang 2024.
Mereka meneruskan aktiviti yang menyokong para pejuang kanser itu tahun ini dengan giat menjalani latihan bagi menyertai Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa LoveBoracay (24-27 April 2025), Kejohanan Perahu Naga Dunia ke-17 (11-21 Julai) dan Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa Sarawak (Oktober).
Mereka bergiat aktif menerusi dana yang diperoleh melalui penjualan barangan cenderahati dan tajaan orang ramai.
Untuk rekod, kanser payudara, kanser kolorektal, kanser paru-paru, kanser nasofaring dan kanser hati, antara yang banyak dihidap masyarakat Malaysia.
Penghidap akan sentiasa kepenatan dan kelesuan bagai menunggu tiba masa ajalnya, namun Kelab Perahu Naga Malaysia Pink Challengers mahu mengubah persepsi masyarakat.
Mengumpul sekumpulan pejuang kanser dalam satu perahu memberi mesej kepada pesakit bahawa mereka tidak bersendirian, malah menjadi bukti sokongan moral bahawa pejuang kanser dan pesakit mempunyai satu matlamat yang sama, iaitu melintasi garisan penamat dengan kegembiraan.