RAMAI kecewa, bukan sahaja penulis tapi penyokong Malaysia yang hadir menyaksikan perlawanan pusingan akhir kelayakan Piala Asia Kumpulan E, malam tadi.

Tidak perlu diulas mengenai keputusan lawan Bahrain kerana semua orang telah tahu dan menonton di dalam stadium, kaca televisyen mahupun ulasan di laman sosial.

Penulis kagum semangat penyokong kita yang hadir beramai-ramai ke stadium walaupun hujan lebat yang turun sejak petang sebelum permainan.

Parkir kereta pun hampir penuh ya. Arggh !

Semangat mereka tidak luntur apabila kekal setia menunggu dan tidak berganjak dari kerusi masing-masing sehingga ke tiupan wisel penamat. Lebih menyentuh hati penulis, semua pemain ‘mengadap’ penyokong sambil diiringi dengan tepukan sebelum nyanyian lagu ‘NEGARAKU’ sekali lagi bergema dalam stadium.

Sangat beremosi! Ia kerana tidak kira menang atau kalah penyokong-penyokong terus tetap bersama dengan pasukan. Sesungguhnya pasukan bola sepak Malaysia sangat bertuah memiliki ‘Ekor Harimau’ yang sentiasa menyokong ketika jatuh dan bangun.

Sudah lama kita tidak merasai aura sebegini sejak ancaman Covid-19 melanda seluruh dunia termasuk Malaysia.

Padu penyokong ke-12 khususnya Ultras Malaya benar-benar menakjubkan kami yang hadir ke stadium sejak jam 4 petang lagi.

Meremang bulu roma kami apabila paluan drum dan sorakan mula diterbitkan Ultras Malaya dan sesekali timbul perasaan sebak semasa lagu patriotik, ‘Inilah Barisan Kita’ dinyanyikan secara beramai-ramai.

Suasana di luar selepas perlawanan juga tidak kurang menariknya. Walaupun skuad Harimau Malaya tewas, penyokong tetap ‘steady’ dan berlibur. Ada yang membawa anak, isteri dan orang kampung.

Nampak riak muram dan sedih tapi inilah bola sepak. Ada menang dan kalah. Betul, kita bermula cemerlang menewaskan Brunei, Hong Kong dalam aksi persahabatan dan kejutan terbesar membenam cabaran Turkmenistan !

Senario sebegini hanyalah boleh dapat dilihat dalam sukan bola sepak. Pelbagai kaum hadir termasuk peminat dari Sabah dan Sarawak.

Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin serta Raja Muda Selangor (RMS) Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj  adalah sebahagian rencah peristiwa yang berlaku pada malam 11 Jun 2022.

Semoga mereka yang kali pertama menjejakkan kaki ke stadium tidak serik akibat keputusan kekalahan!.

Ayuh, penuhkan lagi gelanggang keramat kita pada Selasa ini. Pemain dan Kim Pan-gon memerlukan sokongan kalian. Kita masih ada misi dan peluang ke pusingan akhir.

Malaysia Boleh !

Selamanya Harimau Malaya !