PEMAIN kebangsaan Ecuador, Mario Pineida meninggal dunia semalam selepas diserang di bandar Guayaquil, menurut kenyataan kelabnya, Barcelona SC.

Media tempatan melaporkan pemain berusia 33 tahun itu maut dalam satu serangan bersenjata api di luar sebuah kedai di bahagian utara Guayaquil.

“Barcelona SC dengan rasa dukacita memaklumkan kami diberitahu secara rasmi mengenai kematian pemain kami, Mario Pineida, yang berlaku selepas serangan terhadapnya,” menurut kenyataan kelab di media sosial.

“Berita malang ini menyebabkan semua yang terbabit dalam institusi ini berasa amat sedih…,” jelas kenyataan itu.

Polis Ecuador berkata mereka sedang menyiasat insiden itu tetapi tidak memberikan butiran lanjut mengenai serangan itu.

Pineida, yang pernah beraksi dengan Fluminense di Brazil, membuat sembilan penampilan bersama Ecuador antara tahun 2015 dan 2021. – REUTERS