JERSI legenda Diego Maradona ‘Hand of God‘ telah dijual dengan harga 7.1 juta paun (RM39 juta).
Ia sekaligus menjadikan rekod penjualan item kenangan sukan paling mahal yang dibuat secara lelongan.
Mendiang Maradona memakai baju tersebut ketika menjaringkan dua gol penting untuk menyingkirkan England ketika aksi Piala Dunia 1986, termasuk gol yang dipanggil ‘Hand of God’, dijual kepada pembida ‘misteri’ di Sotheby petang Rabu.
Ikon bola sepak itu bertukar jersi dengan pemain tengah England, Steve Hodge selepas tamat perlawanan yang menyaksikan pemain itu memiliki barang berharga ini sejak 35 tahun lalu.
Bagaimanapun dalam tempoh 20 tahun terakhir, jersi itu telah diletakkan secara pinjaman di Muzium Bola Sepak Kebangsaan di Manchester, namun kini dijual di Sotheby dengan harga £7,142,500 – meyaksikan rekod lelongan tertinggi bagi mana-mana item berharga sukan.
Rekod sebelum ini bagi barangan ‘memorabilia’ sukan ialah manuskrip autograf asal Manifesto Olimpik dari 1892, yang dijual di Sotheby pada harga $8.8 juta pada Disember 2019.
Rumah lelongan itu menyifatkan jersi bernombor 10 biru yang terkenal di laman webnya mengklafikasikan ‘dalam keadaan keseluruhan yang baik konsisten dengan penggunaan berat, peluh dan aktiviti sukan’, ‘sedikit nyahbenang pada labuh di bahagian bawah depan baju, dan bintik-bintik kecil di seluruh’.
Ketika elongan itu berlangsung, difahamkan delegasi Argentina, yang terdiri daripada keluarga Maradona, firma memorabilia swasta dan persatuan bola sepak negara itu tiba di London dalam usaha untuk membeli kembali jersi bermakna ini.
Bagaimanapun sehingga kini nama pembeli yang berjaya membida jersi tersebut masih belum diketahui.
Salah seorang delegasi memberitahu The Sun: “Dia menjual sesuatu kepunyaan Maradona dan AFA tanpa kebenaran.
“Ia sepatutnya berada di Argentina supaya semua rakyat Argentina boleh menikmatinya, dan bukan untuk seorang jutawan yang hanya mempamerkan di dalam almarinya.”
Maradona meninggal dunia pada usia 60 tahun dua tahun lalu akibat serangan jantung.