KECOH seketika perkembangan bola sepak di utara khususnya Perak FC selepas ketua jurulatih mereka, Datuk Lim Teong Kim disahkan tidak lagi membimbing kelab Liga Super itu berkuatkuasa serta-merta.
Sebenarnya, berita ini tidaklah mengejutkan kerana prestasi The Bos Gaurus berada pada tahap tidak memberangsangkan musim ini.
Dibarisi pemain muda dan hanya menyasarkan menamatkan kedudukan pertengahan liga hingga akhir musim, Teong Kim menjadi ‘mangsa’ terkini isu jurulatih yang dilepaskan selepas Choi Moon-sik (Kelantan) dan Tomas Trucha (Kelantan United).

Luahan tidak puas hati peminat Seladang di media sosial Perak FC.
Tinjauan FLASH SUKAN di Facebook rasmi Perak FC dapati rata-rata penyokong setia Kejor Yob Kejor kecewa dan ‘melepas geram’ serta rasa tidak puas hati di saluran media sosial.
Muhamad Firdaus berkata : “Orang suruh tukar pemain bukan tukar jurulatih.. Jurulatih LTK dah cukup bagus untuk pasukan. Kalau letak Jose Mourinho sekalipun dalam pasukan Perak tapi masih pakai pemain cap ayam tiada faedah langsung semua ni..
Sementara itu, Chandra Brennan menulis : “Lawak betul!!! Masalah Perak ialah pemain tak reti main. Bukan jurulatih. Anda memerlukan pemain profesional untuk bermain dalam liga profesional. Kalau ye pun, boleh letak YCL (Yusri Che Lah) ke. LTK pun ke laut, YCL memang ke laut dalamlah”
Seorang lagi peminat menilai pengurusan Perak FC yang terlalu lemah punca kemelut yang sedang berlaku ketika ini.
“Kami semua masih “Percaya Proses” tetapi mengapa anda tidak, Perak FC ?,” soal Fawwaz FJ Juhari.
ARTIKEL BERKAITAN : Jodoh Teong Kim bersama Perak FC berakhir, Yusri kembali pikul tanggungjawab

Yusri semasa mengendalikan kem Perak pada musim lepas.
Kekosongan ditinggalkan Teong Kim akan dipikul sementara oleh Yusri Che Lah yang akan mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih sementara untuk masa terdekat.
Selepas mengharungi 12 perlawanan setakat ini, Perak berada di tangga ke-11 daripada 14 pasukan bertanding hasil dua kemenangan, tiga keputusan seri dan tujuh kekalahan bagi mengumpul sembilan mata.