SELAKU peminat bola sepak, penulis menyanjungi Liverpool sejak dari bangku sekolah.
Ketika pengurus Bob Paisley menjulang Piala Eropah di Paris pada 1981 hasil jaringan kaki kiri Alan Kennedy, penulis baharu berusia enam tahun.
Sama ada Joe Fagan, Roy Evans, Gerard Houllier, Rafa Benitez dan Brendan Rodgers, penulis kekal setia menyokong Liverpool pada zaman gemilang mahupun gelap.
Sesungguhnya penulis berasa cukup bertuah kerana dapat menyaksikan tiga final Liga Juara-juara Eropah membabitkan Liverpool – di Istanbul pada 2005, di Kyiv 2018 dan di Madrid pada 2019.
Mana-mana penyokong Liverpool tidak akan lupa Malam Ajaib di Istanbul 17 tahun yang lalu apabila mereka menang menerusi penentuan penalti selepas ketinggalan 3-0 kepada AC Milan bimbingan Carlo Ancelotti.
Keajaiban di Stadium Olimpik Ataturk di Istanbul tidak berulang pada 2018 apabila kesilapan penjaga gol Loris Karius menghidangkan gol pertama kepada Karim Benzema bagi membuka ruang Real menang 3-1.
Mujur kemenangan di Madrid pada 2019 hadir dengan menumpaskan Spurs 2-0.
Menyaksikan perlawanan di stadium, dengan suasana yang bingit dikelilingi peminat tegar bola sepak adalah pengalaman luar biasa.
Tetapi kali ini penulis tidak berkesempatan ke Stade de France, St Denis, kira-kira 10 kilometer dari pusat bandar Paris.
Cumanya Liverpool tidak mungkin kempunan kali ini.
Tidak bernasib baik muncul naib juara Liga Perdana Inggeris, Liverpool berada pada kedudukan dan prestasi terbaik di bawah Jurgen Klopp, dengan Sadio Mane, Mohamed Salah dan Luis Diaz mampu merobek mana-mana gawang pada hari terbaik mereka.
Virgil Van Dijk akan bekerja keras dengan Andy Robertson, Alexander Trent Arnold dan Joel Matip atau Ibrahima Konate untuk menutup ruang buat Benzema, wira Real yang menjaringkan hatrik menentang Paris St Germain dan Chelsea dalam laluan ke final.