PENGANJUR Sukan Olimpik Paris 2024 perlu memuktamadkan rancangan keselamatan mereka untuk temasya itu.

Badan audit tertinggi Perancis memberi amaran bahawa upacara pembukaan yang dirancang di Sungai Seine bakal menghadirkan cabaran besar dan mungkin memerlukan sokongan polis.

Dalam laporan yang dibentangkan kepada parlimen Perancis, Mahkamah Juruaudit membuat 15 syor kepada jawatankuasa penganjur, dan yang pasti menonjolkan kebimbangan mengenai kebergantungan kepada pengendali keselamatan swasta bagi melindungi temasya dan risiko ke atas rangkaian pengangkutan.

Presiden Pertama Mahkamah Juruaudit, Pierre Moscovici, berkata, faktor keselamatan Paris 2024 sebagai ‘cabaran utama’, dan menegaskan pasukan keselamatan dalaman seperti polis dan tentera perlu diperbadankan dan dibayar.

“Kami meminta pelan keselamatan global dimuktamadkan pada trimester pertama 2023 supaya pengukuhan oleh pasukan keselamatan dalaman boleh dirancang. Kami juga mengesyorkan agar pelan pengangkutan dimuktamadkan di tapak demi tapak,” kata Moscovici, bekas menteri kewangan Perancis dan Pesuruhjaya Eropah bagi hal ehwal Ekonomi dan Kewangan.

Moscovici gesa pelan keselamatan Paris 2024 dimuktamadkan dan berhati-hati dengan persiapan kerana bajet mengalami inflasi.

“Ia boleh dilakukan tetapi apa yang Mahkamah ingin katakan ialah sudah tiba masanya untuk memasuki fasa operasi. Ia belum terlambat tetapi tegang.”

Sukan Olimpik 2024 akan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos, manakala Paralimpik dari 28 Ogos hingga 8 September.

Moscovici berkata upacara pembukaan di Seine adalah satu cabaran dan penganjur harus merancang untuk mendapatkan sokongan polis dan tentera.

Penganjur menjangkakan sekurang-kurangnya 600,000 orang akan menghadiri upacara pembukaan Sukan Olimpik Musim Panas di Seine ketika atlet dan delegasi akan diarak berlayar di sepanjang sungai untuk memulakan temasya itu.

Kira-kira 160 bot akan berlepas pada 26 Julai dari Pont d’Austerlitz untuk perjalanan sejauh enam kilometer ke Pont d’Iena.

Ketua Pegawai Kewangan dan Pematuhan Paris 2024, Fabrice Lacroix memberitahu Reuters, masih terlalu awal untuk memberitahu sama ada polis atau tentera diperlukan dan jawatankuasa itu baru sahaja mengeluarkan tender untuk keselamatan swasta.

Maskot Olimpik Paris 2024. Foto: Reuters

“Jika pada penghujung hari kita memerlukan sumber awam, kita akan menyokong kos itu, dan ia tidak akan lebih mahal daripada membayar untuk keselamatan swasta,” katanya, sambil menambah beliau bersetuju dengan Mahkamah Juruaudit bahawa ia mungkin sukar untuk mencari ejen keselamatan terlatih dalam masa yang singkat.

Laporan itu juga menggesa Paris 2024 untuk menyelesaikan pengubahsuaian kemudahan pengangkutan tepat pada masanya untuk Temasya itu dan menunjukkan risiko kelewatan pada laluan 14 Metro (tren bawah tanah), dan di hab rel utama seperti Gare du Nord.

Mahkamah Juruaudit turut menggariskan bahawa inflasi sedang memakan belanjawan jawatankuasa penganjur, yang dinaikkan sebanyak 10 peratus pada Disember lalu.

“Terdapat rizab luar jangka 315 juta euro (RM1.48 bilion) dan membimbangkan bahawa RM539 juta telah digunakan,” kata Presiden Dewan Ketiga Mahkamah Juruaudit.