Eksklusif bersama Bryan Nickson Lomas

PERNAH menangis, tidak tahan dengan latihan dan berputus asa, hingga tidak mahu meneruskan sukan terjun, namun siapa sangka akan terbit rasa dalam diri seorang Bryan Nickson Lomas, satu perasaan kesal mendalam dek kegagalan meraih sebarang pingat di temasya Sukan Olimpik.

Berkongsi pengalaman dunia terjun kepada FLASH SUKAN, anak jati Sarawak ini mengakui, penyesalan itu menghantuinya sehingga kini.

Antara aksi Bryan di pentas tertinggi, Sukan Olimpik.

Bryan yang dicungkil bakatnya menerusi program pencarian bakat muda oleh Majlis Sukan Negeri (MSN) Sarawak berkata, hampir semua kejohanan disertai membawanya kemasyhuran, namun tidak pada yang tertinggi diimpikan setiap insan bergelar atlet.

“Memang paling menyedihkan dan saya kesali adalah di peringkat Olimpik, tiga kali saya layak.. namun gagal meraih sebarang pingat.

“Pada penampilan kali ketiga Olimpik, memang harapkan untuk mencipta kejutan membawa pulang pingat, terutamanya dalam acara 3m papan anjal seirama, malangnya prestasi saya dan rakan tidak menjadi,” kata Bryan, agak sendu suaranya menceritakan detik kegagalan sebagai seorang Olimpian.

Bryan beraksi di tiga temasya Olimpik berturut-turut, Athens 2002, Beijing 2008 dan London 2012.

Bryan menjadi rakyat Malaysia paling muda beraksi di Sukan Olimpik apabila melayakkan diri ke Olimpik Athens, Greece 2004 pada usia 14 tahun dan beraksi dalam acara 10m platform.

Selepas itu dia layak beraksi di pentas tertinggi dunia itu pada 2008 di Beijing, China dalam acara 10m platform individu dan juga seirama.

Bryan membuat penampilan Olimpik kali ketiga berturut-turut selepas layak beraksi Olimpik London, 2012, dalam acara 3m papan anjal seirama dan 10m platform individu.

Selepas bakat ciliknya dicungkil menerusi pencarian bakat oleh MSN Sarawak, Bryan (kiri) mula mencipta nama di Sukan Malaysia (Sukma).

“Pada Olimpik London, saya agak yakin mampu membawa pulang pingat buat Malaysia kerana pada kejohanan sebelumnya, saya dan rakan gandingan seirama, Huang Qiang meraih beberapa kejayaan yang amat baik.”

Gandingan Bryan-Huang Qiang dalam acara 3m papan anjal seirama menyaksikan mereka meraih pingat emas di dua kejohanan Grand Prix Terjun Fina 2012, iaitu di Kanada dan Amerika Syarikat (AS), selain pingat gangsa acara sama di Piala Dunia Terjun Fina yang berlangsung di London, menyaksikan mereka tewas kepada gandingan Qin Kai-Luo Yuton (China) yang memenangi pingat emas serta Evgeny Kuznetsoc-Ilya Zakharov (Russia) yang memenangi perak.

Podium menjadi rutin Bryan ketika bergelar atlet hingga kini beliau menyesali kegagalan menyumbang pingat Sukan Olimpik buat negara.

Ujarnya, andai diberi peluang memutar semula masa, “Saya nak jadi lebih matang ketika umur belasan tahun, 16 hingga 18 kerana waktu itu, prestasi saya tidak baik dan apabila saya fikirkan semula ketika ini, kalau lah saya lebih matang, rajin berlatih, fokus memperbaiki teknik latihan dan kemahiran, saya akan dapat kememangan di kejohanan yang saya sertai dengan lebih cepat.

“Antara sebab prestasi saya merundum adalah fikiran tidak matang terutamanya selepas jurulatih Yang Zhuliang kembali melatih Australia, saya terpaksa jalani latihan di bawah jurulatih baharu dan tak nampak perubahan.

“Saya mula keliru dan tidak faham apa yang saya mahukan dalam kerier terjun saya.”

Bryan berkelana ke Kuwait, menjadi jurulatih kelab terjun di sana sejak April 2019.

Bryan yang kini menjadi jurulatih di Kelab Terjun Kazma di Kuwait berkata, sudah hampir lima tahun berkelana di negara orang, menyimpan hasrat untuk menabur bakti, menyumbang kembali kepada arena terjun negara.

“Saya menjadi jurulatih di Kuwait antara sebabnya adalah mahu memajukan diri, mendedahkan diri kepada budaya luar, menambah pengalaman dan menimba sebanyak ilmu yang boleh.

Bryan gembira dengann rutin membangunkan bakat muda di Kelab Terjun Kazma, Kuwait.

“Kadang-kadang kita hanya nampak terjun di Malaysia je tapi apabila di luar negara, saya dapat lihat apakah sistem mereka walaupun Kuwait bukan negara kuasa besar terjun.

“Kita boleh buat perbandingan apa yang bagus di Kuwait yang mungkin memanfaatkan atlet kita di Malaysia,” kata jurulatih berusia 33 tahun itu yang mahu menambur bakti di tanah air baik sebagai jurulatih mahupun pengurusan.

Bryan berjaya membangunkan bakat muda Kuwait.

Untuk rekod, pada 2015, Bryan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan, pengkhususan Pengurusan Sukan Universiti Malaya manakala melengkapkan Ijazah Sarjana Pentadbiran Sukan di Universitiy Olimpik Antarabangsa Russia, dua tahun berikutnya.

PENCAPAIAN BRYAN NICKSON LOMAS

  • Muncul atlet termuda negara beraksi di Sukan Olimpik pada usia 14 tahun
  • Beraksi di tiga temasya Olimpik berturut-turut (Olimpik Athens, Greece 2004; Olimpik Beijing, China 2008; dan Olimpik London, 2012)

PENCAPAIAN PINGAT

Sukan Asia

2010: Pingat perak 3m papan anjal seirama

2010: Pingat perak 10m platform seirama

2010: Pingat gangsa 10m platform individu

Sukan Komanwel

2006: Pingat perak 10m platform individu

2010: Pingat gangsa 3m papan anjal seirama

2010: Pingat gangsa 10m platform individu

Kejohanan FINA Terjun Remaja Dunia

2004: Pingat emas 10m platform individu

2006: Pingat gangsa 10m platform individu

Sukan Sea

2005: Pingat emas 10m platform individu

2009: Pingat emas 10m platform individu

2009: Pingat emas 3m papan anjal seirama

2011: Pingat emas 3m papan anjal seirama

2011: 10m platform individu

2005: Pingat perak 10m platform seirama

Kejohanan FINA Grand Prix Terjun

2012: Pingat emas 3m papan anjal seirama, Kanada

2012: Pingat emas 3m papan anjal seirama, Amerika Syarikat

Kejohanan FINA Piala Dunia Terjun

2012: Pingat gangsa 3m papan anjal seirarama