KESETIAAN penyokong-penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) yang sering memenuhi stadium ketika perlawanan Liga Juara-Juara AFC Elite 2024-25 dilihat berbaloi apabila ianya mendapat perhatian daripada pemilik kelab, DYAM Tunku Mahkota Ismail yang juga Pemangku Sultan Johor.

Tunku Ismail yang jelas gembira dengan sambutan menggalakkan para penyokong tanpa mengira faktor bulan Ramadan mahupun waktu sepak mula telah menitahkan agar kesemua mereka yang hadir diberikan juadah berbuka puasa secara percuma.

Difahamkan lebih 80 periuk bubur lambuk disediakan termasuk pelbagai lagi makanan yang akan diberikan di pintu-pintu masuk ke Stadium Sultan Ibrahim untuk memudahkan penyokong berbuka puasa dengan selesa di dalam stadium.

Tidak lupa juga, stadium ikonik yang dilengkapi kemudahan lapan buah surau disekelilingnya serta surau tambahan di bahagian luar membantu penyokong untuk menunaikan kewajiban solat sebelum sepak mula.

Perkara ini menunjukkan sikap muafakat membawa berkat di kalangan rakyat Johor yang bermula dari kepimpinan yang baik oleh Tunku Ismail dan mendapat sokongan daripada kerajaan negeri untuk sama-sama menjayakan misi Harimau Selatan mencipta sejarah layak ke suku akhir ACL Elite buat pertama kali.

Penyokong-penyokong yang ditemui FLASH SUKAN nyata menjunjung kasih atas kepekaan pengurusan kelab dan mereka merasakan kesetiaan dan penat lelah penyokong terbalas dengan kurniaan yang diberikan ini.

Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Johor Lembah Klang (KPBJLK), Faeiz Abdullah berkata perkara ini sudah tentu akan menambahkan lagi semangat para penyokong untuk memberikan sokongan padu buat JDT.

“Syukur dan terima kasih kepada Tunku Ismail, penaja-penaja, pengurusan kelab dan mereka yg terbabit dalam usaha penyediaan juadah berbuka puasa untuk semua penyokong JDT yg hadir utk memberi sokongan kepada pasukan.

“Semoga usaha ini dapat menyemarakkan lagi sokongan dan sorakan penyokong JDT dalam usaha untuk menewaskan Buriram United sekaligus layak ke suku akhir,” jelasnya yang mengetuai rombongan 70 penyokong dari sekitar Lembah Klang.

Sukarelawan Southern Volunteers bergotong royong memasak bubur lambuk di tapak parkir stadium (kredit foto: Southern Volunteers)

Rasa yang sama dizahirkan penyokong yang hadir dari Kluang, Ahmad Fitri yang menyifatkan ianya satu usaha yang baik terutama dilakukan pada bulan Ramadan dan kesemua penyokong perlu rasa bersyukur akan pemberian ini.

“Ini adalah kurniaan terbaik dari Pemangku Sultan Johor memandangkan ini adalah bulan Ramadhan yang juga sebagai tanda terima kasih Tunku Ismail atas sokongan yang tidak pernah padam dari rakyat Johor. Kesemua kami rasa bersyukur dengan keprihatinan yang ditunjukkan,” katanya.

Lebih 35,000 penyokong dijangka membanjiri Stadium Sultan Ibrahim pada malam yang bakal melakar sejarah baharu buat JDT serta Malaysia dan tahniah buat pengurusan kelab yang cakna dengan kesejahteraan para penyokong yang sentiasa berada di belakang pasukan.