MESKIPUN hanya berada di tangga ke-11 Liga Super ketika ini, Perak FC antara lima pasukan yang tidak berdepan masalah tunggakan gaji.

Ketika pasukan lain termasuk skuad ternama dihimpit isu gaji belum dibayar, pengurusan The Bos Gaurus cukup berhemah dan bijak dalam menguruskan perbelanjaan sehingga saingan liga bakal dilabuhkan tirai pada Ahad ini.

Perkembangan positif ini dapat dilihat menerusi hantaran Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Interim kelab Perak FC, Bobie Farid Shamsudin yang memberi respons tersendiri mengenainya.

“Untuk saingan Liga Super tahun ini hanya lima pasukan yang tidak mempunyai masalah gaji dan salah satunya adalah Perak.

“Walaupun tanpa sokongan mana-mana pihak pada tahun ini, visi untuk stability kewangan telah berjaya diusahakan.

“Kejayaan sesebuah kelab adalah kekuatan kewangan kelab itu sendiri dan untuk tahun pertama walaupun ada kesilapan dalam percaturan perbelanjaan pemain dan juga staf namun ianya berjaya di laksanakan,” tulisnya menerusi akaun Facebook TBG Super Fan.

May be an image of blueprint and text

Kebolehan pasukan utara tanah air itu kekal bersaing juga menarik minat jumlah kehadiran kira-kira 57,058 penyokong ke Stadium Perak semasa aksi Liga Super.

“Jumlah kehadiran penonton untuk tahun 2023 ke Stadium Perak untuk saingan Liga Super.

“Berbanding dengan pasukan lain ianya satu angka yang boleh dibanggakan dengan keadaan pasukan serta pemain pemain yang bukan star.

“Untuk tahun pertama kami menguruskan pasukan ini angka ini boleh dijadikan sebagai benchmark pendapatan,” katanya lagi.

May be an image of crowd and text

Namun pada masa sama, Bobie juga ‘mengerah’ segala idea bagi mencari mekanisma lain untuk menampung perjalanan sukan rakyat nombor satu dalam negara ini .

“Apa pun terima kasih warga Perak untuk sokongan anda dan kami akan cuba baiki apa yang kurang.

“Cabaran tahun 2024/25 lebih tinggi dengan penglibatan pasukan bawah 18 tahun sudah tentu ianya lebih mencabar,” akhirinya.