PASUKAN Perancis mengehadkan sambutan selepas layak ke Piala Dunia 2026 menerusi kemenangan 4-0 ke atas Ukraine awal pagi tadi, dengan kapten Kylian Mbappe berkata beratnya emosi malam itu – ulang tahun ke-10 serangan 13 November 2015 – lebih penting berbanding keputusan perlawanan.

Jurulatih Didier Deschamps turut menegaskan layak ke pusingan akhir adalah tempat yang sepatutnya buat Les Bleus.

Mbappe, yang menjaringkan dua gol termasuk penalti untuk membantu kemenangan Perancis berkata: “Amat berbangga berada di sini, walaupun ini bukan perkara paling penting malam ini – bahagian paling penting adalah penghormatan kepada mangsa serangan.”

Deschamps berkata prestasi pasukannya lebih bersifat profesional berbanding memukau, tetapi cukup untuk menyelesaikan misi.

“Sentiasa hargai detik sebegini, walaupun kejayaan Perancis nampak logik dan semula jadi. Objektif malam ini adalah layak dalam konteks yang berat dan penuh makna. Babak pertama sukar menghadapi benteng pertahanan Ukraine,” katanya.

“Saya menikmatinya, walaupun bukan kali pertama dan pasukan Perancis perlu hadir pada setiap kejohanan besar.”

Perancis menguasai permainan tetapi memerlukan masa untuk menembusi kemantapan pertahanan Ukraine. Mbappe dua kali hampir menjaringkan gol sebelum jaringan penalti membuka tirai.

Michael Olise menambah gol kedua, Mbappe menjaringkan lagi sebelum Hugo Ekitike menutup kemenangan besar.

Deschamps, yang akan menamatkan tugasnya sebagai jurulatih Perancis pada pusingan akhir Piala Dunia tahun depan berkata, pasukannya kekurangan intensiti pada awal perlawanan tetapi menyesuaikan diri selepas rehat.

“Kami tidak cukup pantas dalam hantaran dan pergerakan. Terlalu banyak kehilangan bola, kurang asakan ke hadapan,” katanya.

“Perubahan membantu – Maghnes Akliouche dan Ekitike membawa tenaga baharu dan impak. Kami sering bermain perlawanan sebegini, yang memerlukan kesabaran.”

Beliau menegaskan malam itu memang dijangka kekal sederhana.

“Dalam konteks ini, tiada tempat untuk sambutan berlebihan. Kami lakukan apa yang perlu.” – REUTERS

 

Sumber Gambar: Reuters