PELUMBA Red Bull Racing, Sergio Perez mengatasi pencabar Charles Leclerc dari Ferrari untuk muncul juara perlumbaan Sprint di Baku pada Sabtu dan dia memuji kerja keras dan prestasi baik pasukan Red Bull dan kini mengintai peluang untuk memenangi perlumbaan utama Grand Prix Azerbaijan pada Ahad.

Perez tewas kepada Leclerc dalam perebutan petak utama untuk perlumbaan Sprint pada awal Sabtu tetapi berjaya memintas pelumba Monaco itu pada pusingan kelapan perlumbaan 100km selepas bermula di petak kedua.

“Saya sangat gembira untuk pasukan kerana mereka melakukan tugas yang luar biasa. Ianya bukan mudah dalam format baharu ini kerana ia menambah tekanan bukan sahaja kepada pemandu, mekanik dan jurutera. Jadi untuk mendapat mata maksimum ianya adalah permulaan yang baik.

“Saya rasa apa yang penting adalah untuk memastikan kami mempunyai kelajuan dan ritma yang baik yang membolehkan kami menggunakan tenaga pada momen yang betul dalam perlumbaan dan ini memberikan perbezaan. Akhirnya ia adalah hujung minggu yang baik dari seluruh pasukan.

“Saya mempunyai sedikit masalah pada tayar jadi apabila Charles berada dalam zon DRS dibelakang, saya tidak dapat menjarakkan diri dan itu memberikan sedikit masalah kepada saya.

“Saya sangat bangga dengan ahli pasukan saya kerana jika kita lihat, kami baru sahaja kembali selepas berehat selama empat minggu dan terus berlumba dalam format baharu ini. Mereka melakukan tugas yang baik tetapi perlumbaan esok adalah lebih penting dan kami harus fokus kepada itu,” katanya selepas tamat perlumbaan.

 

Perez akan bermula di petak ketiga Grand Prix Azerbaijan pada Ahad dan dia berkata ada sesuatu yang dapat dipelajari pada perlumbaan Sabtu namun segalanya akan berlainan pada perlumbaan utama dengan minyak yang penuh dan keadaan litar yang berbeza.

“Pada saya ianya adalah satu pelajaran yang baik hari ini. P3 bukanlah petak yang ideal untuk perlumbaan Ahad tetapi saya akan berikan segalanya dan bersaing untuk kemenangan. Di Baku apa sahaja boleh terjadi dan kita akan tunggu dan lihat,” tambahnya.

Kemenangan dalam perlumbaan Sprint itu memberikan Perez lapan mata tambahan dan mengurangkan defisit kepada 13 mata dari teman sepasukan, Max Verstappen yang tamat di tangga ketiga di belakang Charles Leclerc.