PENGURUS Arsenal, Mikel Arteta, tidak dapat menyembunyikan rasa bangganya terhadap persembahan luar biasa pasukannya di Stadium Emirates ketika menewaskan Tottenham dengan keputusan 2-1, pada awal pagi Khamis.

Arsenal pada mulanya ketinggalan hasil jaringan Son Heung-min. Namun, pasukan tuan rumah berjaya bangkit melalui gol sendiri Dominic Solanke dan rembatan Leandro Trossard.

Kemenangan ini bukan sahaja meningkatkan semangat juang Arsenal dalam persaingan merebut trofi Liga Perdana Inggeris musim ini, tetapi juga memperbaiki kedudukan mereka dalam carta liga.

Tiga mata penuh itu membolehkan Arsenal memintas Nottingham Forest dan pada masa yang sama mengurangkan jurang mata dengan Liverpool, yang sebelum ini seri 1-1 menentang Forest.

Leandro Trossard meledak gol kemenangan The Gunners.

Dalam temu bual bersama TNT Sports selepas perlawanan, Arteta, walaupun enggan terlalu awal membincangkan peluang mereka menjuarai liga, tetap memuji usaha pasukannya yang menunjukkan komitmen tinggi dan semangat juang luar biasa.

“Hari ini kami tampil luar biasa sejak minit pertama.

“Kami bermain dengan intensiti tinggi, menunjukkan kualiti hebat, dan mempunyai matlamat yang jelas untuk menyukarkan lawan sama ada ketika menguasai bola mahupun tidak. Kami juga mencipta suasana yang hebat, yang sangat membantu,” jelasnya.

Pengurus dari Sepanyol itu turut menekankan kepentingan kemenangan dalam perlawanan Derby London Utara ini buat para peminat.

“Kami tahu betapa pentingnya perlawanan derby ini untuk semua orang. Kemenangan ini adalah hadiah untuk memberikan kegembiraan kepada penyokong kami.

“Saya yakin kami telah berjaya melakukannya, dan mereka pasti bangga dengan apa yang kami tunjukkan malam ini,” tambahnya.