FENOMENA yang melanda skuad kebangsaan bukanlah satu suratan mahupun kebetulan tetapi adalah hasil usaha bersama semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam mengembalikan semula keyakinan para penyokong kepada skuad Harimau Malaya.

Setelah beberapa kali gagal di pentas antarabangsa dengan dikendalikan pelbagai jenis dan ragam jurulatih, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akhirnya berani mengeluarkan belanja untuk membawa jurulatih yang sesuai bagi mencipta DNA bola sepak Malaysia.

Hadirlah individu kelahiran Korea Selatan, Kim Pan-gon yang sebelum ini disanjung tinggi di Hong Kong atas usaha pembangunan bola sepak negara kecil itu yang kita semakin membuahkan hasil jangka panjang.

Di bawah kendalian Pan-gon, Harimau Malaya dilihat kembali mendapat taringnya apabila mempamerkan aksi memukau dengan para pemain yang semakin yakin akan kemampuan diri mereka terutama apabila berhadapan dengan pasukan yang mempunyai ranking lebih tinggi.

Rezeki tidak memihak Pan-gon apabila Malaysia tewas kepada Tajikistan dalam final Pestabola Merdeka 2023 sekaligus tidak berjaya menamatkan kemarau 13 tahun tanpa piala namun perubahan yang dibawa dalam skuad kebangsaan tidak boleh disangkal.

Menang dan kalah itu adalah adat permainan dan pendapat pemerhati bola sepak tempatan, Christopher Raj tentang era Kim Pan-gon wajar direnung kerana ianya tepat untuk menggambarkan situasi sebenar yang berlaku dalam bola sepak Malaysia dewasa ini.

“Dia tiba ketika kita sedang bergelut di luar dan di dalam. Dengan dedikasi dan kerja keras, jurulatih Kim Pan-gon telah melakukan transformasi kepada pasukan dan wajah bola sepak Malaysia. Benar, kita tidak sempurna dan mempunyai kelemahan namun ianya belum berakhir sehingga perjuangan berakhir. Mari pandang ke hadapan. Kepada Pan-gon kita percaya,” tulisnya dalam hantaran di laman Instagram peribadinya.

Misi sebenar Pan-gon adalah Piala Asia, kejohanan yang akhirnya kita berjaya layak secara merit selepas 43 tahun dan kini dia dalam proses memantapkan pasukan sebelum perjuangan sebenar bermula di Qatar, Januari hadapan. Ayuh pertahankan kepimpinan Kim Pan-gon.