[EKSKLUSIF]
KEJAYAAN di sebalik sesebuah pasukan bola sepak bukan sekadar berkisar menjaringkan gol, taktikal magis jurulatih dan gelombang penyokong yang besar tetapi turut dibantu watak-watak kecil lain yang jarang didendangkan peminat.
Salah satu tulang belakang dimaksudkan adalah pengendali makanan iaitu Chef Shahbani Md Akhir yang kini bertugas sebagai tukang masak profesional di sebuah hotel terkemuka di Dorsett Grand Subang.
Bercakap kepada FLASH SUKAN, Chef Shahbani menegaskan pemakanan adalah antara faktor penting dalam menyumbang kepada prestasi atlet, malah, ia boleh mempengaruhi adaptasi latihan, risiko kecederaan dan penyakit.
Katanya lagi, pengambilan makanan dan minuman pada masa yang sesuai dengan tujuan untuk memberi tenaga kepada badan bagi mencapai prestasi maksimum adalah kunci kepada pemakanan prestasi.
“Tugas seorang tukang masak khususnya kepada penyediaan pemain bola sepak bukan mudah, malah, peranan kami mungkin boleh dianggap mampu menjadi penentu kejayaan atlet dalam pertandingan.
“Tiga perkara saya titik utamakan adalah lemak, pedas dan minyak. Benda ini memang saya elakkan ketika menyediakan makanan untuk pemain bola sepak kerana ini akan mengganggu kecergasan pemain. Kandungan minyak yang tinggi kolestrol akan buat cepat penat, pedas pula akan jadikan ketahanan tidak selesa dan karbo yang tinggi akan menyebabkan menjadi lemah.
“Walaupun kadang-kadang menu diminta agak tidak sesuai tapi saya akan bagi tahu awal kepada pengurus kecergasan pasukan bagi dapatkan persetujuan bersama dan salah faham seandainya berlaku apa-apa jangkitan dalam penyediaan makanan, saya tidak mahu ambil tanggungjawab,” katanya terlibat secara langsung sajian kepada pasukan pelawat dalam kejohanan Pestabola Merdeka 2023.
Chef Shahbani berkata, pihaknya sentiasa memastikan mengikut menu yang disediakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan juga persetujuan bersama daripada pasukan pelawat yang datang sebelum perlawanan bermula.
“Selalunya perlawanan berlangsung di sebelah malam dan pukul 4 petang mereka akan mengambil makanan ringan, contohnya pasta dengan tomato sos dan mashed potato serta pisang, buah potong butter, roti, jus dan juga susu panas.
“Pemain tak boleh ambil makanan yang protein tinggi sebelum perlawanan kerana ini akan mengganggu kecergasan selalunya apabila tiba waktunya, tekanan oksigen daripada protein itu akan mengganggu kesegaran pemain. Dia akan mengganggu ke otot sebab apabila lepas dalam 50 minit oksigen daripada makanan yang itu, dia akan turun ke muscles serta mengganggu gerakan yang menyebabkan seorang pemain itu akan cepat kurang dan mereka akan mengambil life snack,” kongsi bapa lima orang cahaya mata itu.
Anak kelahiran Kampung Pegawai Alor Janggus dan kemudiannya ke Felda Teloi Timur, Kuala Ketil itu tidak menafikan wujudnya tekanan terutamanya apabila ada permintaan penukaran menu saat akhir tetapi masing-masing memahami peranan dan berjaya diatasi dengan sempurna.
“Untuk sarapan memang awallah dalam pukul 5, 6 pagi tapi pasukan selalu tak sarapan awal, dia mungkin dalam pukul 8, 9 dan 10 pagi baru dia sarapan. Makanan rutin sarapan pagi seperti ubi kentang, telur, pancake ataupun muffin. Mereka tak boleh makanan macam roti canai, nasi lemak kerana semuanya mengandungi lemak minyak yang tinggi,” katanya.

Bersama jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon.
Peminat pasukan Harimau Malaya itu menceritakan cabaran terbesar menguruskan pemakanan pasukan ketika mana ada pasukan tertentu yang tidak mengikuti masa ditetapkan selepas pulang daripada kelas.
“Contoh makan malam pukul 7.30 dia bawa sampai pukul 8 malam. Jadi saya kena bersedialah dengan benda benda ini semua untuk mengelakkan daripada sebarang tidak kepuasan hati pasukan pelawat.
“Satu lagi seandainya mereka cuba membawa makanan daripada luar, kita tidak bertanggungjawab berlaku sebarang keracunan makanan, kita akan dipersalahkan. Jadi seandainya sekiranya ada pasukan luar, selalunya kedutaan mereka akan hantar makanan kepada saya untuk disediakan kepada mereka, tapi saya minta pasukan ataupun pengurus menandatangani persetujuan jika berlaku keracunan kita tidak bertanggungjawab kerana kita ikut menu kehendak dan kualiti ditetapkan.
“Saya terlibat sejak 2016 sehingga sekarang dan secara tak langsung boleh berkomunikasi dan memberi cadangan duduk bincang untuk memudahkan perjalanan sepanjang mereka berada di tempat saya ini.
“Saya bila bab ini, saya memikirkan atas nama negara bukan atas nama majikan sahaja. Sebarang berlaku ketidakpuasan hati mereka akan sebut Malaysia dan bukan Dorsett Grand Subang.
“Ini saya tekankan dalam menjalankan tugas. Saya bawa tanggungjawab nama Malaysia dan sebagai seorang chef kita letakkan tanggungjawab sepenuhnya ke atas pasukan yang datang,” katanya kini berusia 52 tahun.

Tandangan eksklusif pemain Australia.
Chef Shahbani tanpa segan silu menyebut pasukan Australia dan Korea Selatan paling bahagia untuk ditangani berikutan tahap profesional tinggi dipamerkan sepanjang keberadaan di ruang sajian makanan.
“Jaga pasukan yang bermain di level Piala Dunia ini memang best. Mereka miliki disiplin dan sentiasa patuhi masa yang ditetapkan serta memberi kerjasama yang cukup baik. Kalau ada apa-apa pertukaran menu, dia akan cakap kat kita secara secara gentlemen dan profesional,” katanya pernah terlibat sebagai juruhebah sambilan Liga Super (Selangor ) dan King Of The Beach 2023.

Ketika bertugas sebagai juruhebah sambilan aksi Liga Super bersama Selangor FC.
Sebelum mengakhiri sesi temubual, Chef Shahbani seronok apabila berada dalam ‘sebahagian’ skuad yang bertanding selepas kehadirannya dari dapur masakan diterima menjadi kawan di luar waktu kerja dan ketika berada di luar negara.
“Memang saya akan ambil dan simpan contact number pegawai kecergasan sepanjang menjaga pasukan. Kadang-kadang saya ke oversea, boleh terus jadikan persahabatan kerana bola sepak ini dinamakan menyatukan kitakan.
“Ada yang bagi saya jersi, seluar trek, pin, keychain sebelum mereka pulang meninggalkan hotel. Kiranya pelbagai jersi bola sepak saya ada dalam simpanan. Dah boleh jadi koleksi pengumpul jersi.
“Saya jadikan benda ini sebagai collector untuk saya kenangkan sepanjang bergelar sebagai petugas pengendali makanan menjaga pasukan,” tambahnya lagi.