PERTEMUAN final Pestabola Merdeka 2023 antara Harimau Malaya dan Tajikistan bakal menjadi medan terbaik buat skuad senior kebangsaan kembali menjulang trofi selepas 13 tahun tidak memenangi sebarang kejohanan antarabangsa.

Kali terakhir skuad senior kebangsaan menjulang piala adalah ketika detik kebangkitan Piala AFF Suzuki 2010 dan selepas itu, kemarau piala berterusan dan hari ini, Stadium Nasional Bukit Jalil sekali lagi berpeluang menjadi saksi kejuaraan Harimau Malaya.

Skuad kendalian Kim Pan-gon bakal turun dengan semangat yang berkobar-kobar di hadapan penyokong sendiri selepas berjaya mencatatkan tiga keputusan positif keatas lawan yang mempunyai ranking lebih tinggi — dua keputusan seri dengan Syria dan China dan menang ke atas India.

Pan-gon dijangka akan mengekalkan corak permainan menyerang dengan meletakkan empat pemain serangan dan dilihat akan mengukuhkan barisan tengah bagi melindungi pertahanan yang kelihatan sedikit terdedah ketika bertemu India pada Jumaat.

Lawan Malaysia di final, Tajikistan bukanlah calang-calang pasukan meskipun dikhabarkan tidak membawa 15 pemain utama ekoran kekangan dari kelab namun ini mungkin permainan psikologi yang dimainkan oleh pengendalinya, Petar Segrt untuk tidak kelihatan terlalu yakin.

Segrt juga tidak mahu memberikan komen tentang siapakah pemain Malaysia yang perlu diberikan perhatian tetapi sudah pasti barisan kejurulatihan Tajikistan sudah mengenalpasti ancaman yang bakal hadir dari kuartet serangan Harimau Malaya.

Amirbek Juraboev (dua, kanan) pemain tengah versatil Tajikistan yang kini beraksi untuk skuad KDA FC musim ini.

Selain mahu menjulang trofi buat kali pertama sebagai pengendali Malaysia, Pan-gon mempunyai misi yang lebih besar iaitu membawa Malaysia naik ke ranking 120 dunia dan kemenangan pada malam ini akan memberikan tambahan 6 mata dalam ranking dunia Fifa.

Projek serampang dua mata ini juga adalah peluang terakhir buat Pan-gon untuk menguji gandingan terbaik untuk dibawa ke Qatar menghadapi Kejohanan Piala Asia pada Januari untuk bersaing dengan Jordan, Bahrain dan Korea Selatan dalam Kumpulan E.

Malaysia dilihat berpeluang cerah untuk menamatkan kemarau kejuaraan dalam skuad senior dengan barisan terbaik yang semakin yakin dengan kemampuan mereka serra fleksibiliti taktikal Pan-gon yang mampu memerangkap lawan.

 

Rekod pertemuan Malaysia – Tajikistan

Pertemuan – 3 kali

Menang – 1 (2019)

Seri – 1 (2022)

Kalah – 1 (2014)