KETUA Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon mendedahkan bahawa peningkatan prestasi skuad kebangsaan yang begitu pantas sejak di bawah kendaliannya sedikit sebanyak memberikan kegusaran buat pengendali berasal dari Korea Selatan itu.
Kejayaan Malaysia mendaki dari ranking dunia ke-154 hingga ke-134 sedikit sebanyak memberi kesan kepada dirinya kerana ramai penyokong kini mengharapkan pasukannya terus meraih kejayaan demi kejayaan hingga membuatnya sukar untuk tidur.
Pan-gon mengakui bahawa mereka semua mempunyai mentaliti untuk menang pada setiap perlawanan tetapi dalam bola sepak ada kalanya kemenangan tidak sentiasa memihak kepada Harimau Malaya.
“Pasukan menunjukkan peningkatan sangat hebat, kita sampai ranking ke-134, sangat pantas. Sudah tentu, harapan sangat tinggi dan saya akui sedikit takut hingga tidak boleh tidur sebelum aksi final kerana semua ingat kita akan menang,” katanya ketika sidang media selepas perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa.
Pengendali itu turut bertanggungjawab atas kekalahan ini kerana semua keputusan di dalam padang dilakukan olehnya manakala pemain hanya mengikut arahan dan taktikal yang ditetapkan dan mereka tidak sepatutnya dikritik.
“Anda boleh kritik saya kerana saya menerima gaji tetapi pemain tidak. Mereka hadir berjuang untuk negara. Kita bermain untuk menang dan tidak mahu kalah. Mereka ikut arahan saya sebab kita berbincang macam mana untuk menang dan menyerang. Mereka cuba mendominasi perlawanan untuk menang.
“Kami tidak boleh mengalah, kami akan berjuang. Untuk penyokong, hadirlah bagi sokongan kepada pasukan kerana bulan hadapan kita akan bertemu sebuah pasukan yang rankingnya berada di tempat ke-96 dunia,” tambahnya.
Hasrat Pan-gon untuk mendapatkan piala pertama bersama Harimau Malaya dan menamatkan kemarau kejuaraan disekat Tajikistan apabila tewas 0-2 menerusi jaringan Soirov Rustam dan Samiev Shahrom pada setiap babak dalam aksi final Pestabola Merdeka 2023.