IMPIAN manis skuad remaja Indonesia untuk melangkah lebih jauh dalam kempen Piala Asia B-17 2025 berakhir dengan penuh kecewa apabila dibelasah Korea Utara 6-0 dalam aksi suku akhir di Jeddah, Arab Saudi awal pagi tadi.
Berbekalkan status juara Kumpulan C selepas menundukkan Korea Selatan 1-0, Yaman 4-1 dan Afghanistan 2-0, ramai menjangka anak buah Nova Arianto mampu memberi saingan sengit.
Namun sebaliknya berlaku apabila pertahanan Garuda Muda longlai dibedil dengan enam jaringan tanpa balas.
Korea Utara bermula garang sejak wisel permulaan dan menutup separuh masa pertama dengan kelebihan dua gol.
Babak kedua menyaksikan dominasi berterusan pasukan Asia Timur itu apabila menambah empat lagi gol untuk melengkapkan kemenangan besar dan melayakkan diri ke separuh akhir.
Indonesia bukan sahaja gagal mengulangi prestasi cemerlang peringkat kumpulan, malah tampak tenggelam dalam setiap aspek permainan dari kawalan bola hingga ke ketajaman di zon serangan.
Kekecewaan jelas terpancar pada wajah pemain-pemain muda negara jiran yang seakan kehabisan idea untuk bangkit.
Dengan kekalahan ini, Korea Utara bakal berdepan satu lagi cabaran besar apabila dijadualkan menentang Uzbekistan dalam aksi separuh akhir selepas wakil Asia Tengah itu menyingkirkan Emiriah Arab Bersatu 3-1.
Meskipun tersingkir lebih awal, pencapaian Garuda Muda melangkah ke suku akhir sudah cukup untuk menjamin tempat ke Piala Dunia B-17 2025 di Qatar yang akan berlangsung pada November depan, peluang kedua yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk menebus kekecewaan pahit di Jeddah.