SKUAD bawah 23 tahun (B-23) terus gigit jari apabila tewas kesemua tiga perlawanan termasuk dikecewakan Kuwait B-23 , 1-2 dalam aksi terakhir Kumpulan D Piala AFC 2024 di Stadium Al Janoub awal pagi Rabu.

Dalam perlawanan ini, Malaysia hampir mendapat pendahuluan gol pada minit ke-17 namun rembatan Luqman Hakim Shamsudin ke gawang terperangkap ofsaid.

Kejadian malang berlaku kepada pasukan negara gara-gara terpaksa bermain dengan 10 orang selepas penjaga gol Sikh Izhan Nazrel melakukan pelanggaran yang kuat terhadap Moath Al Enezi pada minit ke-45 berhampiran kawasan kotak penalti.

Sikh Izhan gagal mendapatkan bola dan kepalanya mengenai Al Enezi, yang terus jatuh terlentang. Pengadil dengan tegas memberi kad merah hasil semakan video bantuan pengadil (VAR). Percaturan formasi terpaksa dilakukan, Luqman Hakim ditarik keluar dan digantikan oleh Firdaus Irman sebagai penjaga gol.

May be an image of 1 person, playing football, playing American football and text

Gol Luqman Hakim ke gawang terperangkap ofsaid pada m-17.

Pada masa kecederaan, Kuwait dihadiahkan penalti selepas Umar Hakeem melakukan kekasaran ke atas Talal Al Qaisi, dan pengadil memutuskan penalti selepas memeriksa VAR. Kapten Kuwait, Salman Al Awadhi mudah menyempurnakan gol untuk Kuwait mendahului 1-0.

Bersambung separuh masa kedua, Malaysia mencuba lebih banyak peluang untuk mendapatkan gol penyamaan, tetapi sebaliknya pada minit ke-60, susulan hantaran Sultan Al Faraj kepada Talal Al Qaisi disudahkan dengan tandukan ke gawang, Kuwait mendahului 2-0.

Pada minit ke-63, hasil serangan Malaysia dan hantaran Nooa Laine ke arah Haqimi Azim berjaya mencipta gol menarik dan membolehkan kedudukan dirapatkan menjadi 1-2.

Kuwait pula terpaksa bermain kurang satu pemain berikutan kekasaran Salman Al Awadhi ke atas Umar Hakeem dan diberikan kad pada penghujung permainan.

Tidak banyak usaha Malaysia mendapatkan jaringan penyamaan sekali gus memastikan kemenangan bermaruah Kuwait 2-1.

 

Keputusan ini menunjukkan skuad muda Malaysia sekadar mengakhiri kempen Piala Asia B-23 di tangga tercorot kumpulan D, tanpa meraih sebarang mata selepas kecundangan di tangan Uzbekistan dan Vietnam.

Sementara, Kuwait mengutip tiga mata untuk menempatkan diri di tempat ketiga kumpulan tersebut. Situasi ini menunjukkan cabaran sukar yang dihadapi oleh skuad muda Malaysia, tetapi juga memberi pengalaman berharga kepada mereka dalam persaingan di peringkat antarabangsa.