PENYERANG bola sepak Harimau Malaya, Mohamad Faisal Abdul Halim enggan menyalahkan pengadil atas sepakan penalti yang diberikan kepada Vietnam susulan kontroversi melibatkan Azam Azmi Murad yang dilayangkan kad merah.

“Kadang bola sepak kita ada kesilapan. Kita ada kelebihan untuk bermain 10 orang lawan 11 orang. Kita tidak boleh cakap tentang pengadil. Pengadil buat kerja dia, kita buat kerja kita,” jelasnya.

Tambahnya lagi, dia tidak menyalahkan Azam semata-mata namun menyifatkan ia adalah proses pembelajaran dalam usianya yang masih muda supaya menjadi pengajaran berharga pada masa hadapan.

“Kita ada pemain muda yang perlu belajar perkara sebegini. Kesilapan ini boleh menghukum keseluruhan pasukan. Saya sebagai kapten, saya tidak salahkan rakan-rakan saya dan kita perlu bagi semangat kepada mereka.

“Azam sudah buat kerja yang sangat baik. Satu kesilapan, satu pengalaman ,dia boleh belajar. Pengalaman besar untuk dia sebagai pemain,” ujarnya.

Biarpun berasa kecewa kerana misi sebenar adalah mendapatkan tiga mata bertemu Vietnam, namun nasib tidak menyebelahi Malaysia apabila gagal membutirkan sebarang jaringan.

Jelas Mickey, rata-rata pemain muda yang ada memerlukan masa dalam dua atau tiga tahun untuk menjadi matang dan berkesan ketika berdepan situasi tekanan di dalam padang.

“Kita memang sangat kecewa. Kita hadir ke sini untuk mendapatkan tiga mata. Kita memang bersedia untuk menang. Di awal permainan, kita memang mencuba dengan beberapa peluang mengasak, cuma itulah nasib tiada.

“Dua tiga tahun lagi saya percaya pemain muda yang berada dalam skuad mampu menjadi semakin baik dan beraksi dengan lebih baik,” katanya.