AKSI pembukaan Kumpulan E Piala Asia 2023 antara Harimau Malaya dan Jordan bakal menjadi detik penting buat skuad kebangsaan yang pastinya dinantikan semua penyokong bola sepak tempatan.

Tiga mata penuh keatas lawan yang berada di tangga ke-84 ranking dunia Fifa akan memastikan skuad kendalian Kim Pan-gon bermula dengan positif dan membuka peluang untuk layak ke pusingan seterusnya.

Jordan pula meskipun mempunyai ranking yang lebih tinggi kini berada dalam tempoh yang sukar apabila tidak mencatat sebarang kemenangan dalam enam perlawanan terakhir mereka pada 2023 dengan barisan pertahanan menjadi masalah utama.

Malaysia perlu mengambil kesempatan ini untuk mencuri tiga mata sekali gus bakal melonjakkan mata ranking namun kehadiran empat pemain yang bermain dan pernah bermain dalam Liga Malaysia boleh menjadi duri dalam daging buat Harimau Malaya.

Empat pemain itu – Yazan Al Arab, Fadi Awad, Noor Al Rawabdeh dan Mahmoud Al Mardi adalah sebahagian daripada 26 pemain yang dibawa jurulatih, Hussein Ammouta ke Qatar bagi mengharungi tiga perlawanan kumpulan yang turut dihuni Bahrain dan Korea Selatan.

Yazan Al Arab dan Noor Al Rawabdeh  beraksi cemerlang bersama Selangor FC sepanjang dua musim dan meskipun Yazan sudah ditamatkan kontraknya serta merta selepas didapati bersalah menendang pengadil, dia berjaya membentuk gandingan pertahanan yang kental.

Noor pula cemerlang di bahagian tengah dan sering membantu barisan serangan Selangor hingga layak ke Liga Juara-Juara AFC 2 musim hadapan dan duo ini boleh menjadi pengubah perlawanan sekiranya diturunkan berhadapan Malaysia.

Fadi Awad yang menabur bakti bersama PDRM FC pula pastinya mahu menjadikan lanjutan kontraknya bersama The Cops sebagai pemangkin untuk beraksi dengan baik di Piala Asia sekali gus mengecewakan anak-anak buah Kim Pan-gon dari mendapat tiga mata.

Bekas perancang Kedah Darul Aman FC, Mahmoud Al Mardi juga perlu diberikan perhatian kerana keupayaannya mengawal jentera tengah selain mempunyai visi untuk membantu barisan serangan memecahkan benteng Malaysia.

Harimau Malaya yang membuat kemunculan keempat dalam Piala Asia mahu memecahkan badi tanpa kemenangan dalam perlawanan pembukaan sejak edisi 1976.

Ketika itu Malaysia tewas 0-2 kepada Kuwait dan diikat Korea Selatan 1-1 pada edisi 1980 sebelum dibelasah China 1-5 pada edisi 2007 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.