MESKIPUN berhadapan gergasi Asia, Jepun pada perlawanan pembukaan Kumpulan D di Piala Asia 2023, pengendali Vietnam, Phillipe Troussier yakin skuad kendaliannya mampu melakarkan kejutan.

Troussier telah memilih 26 pemain untuk membentuk skuad yang menggabungkan pemain berpengalaman dan pemain muda untuk berhadapan cabaran di Qatar dengan lebih dari lima pemain utama mengalami kecederaan.

Ini menjadikan skuad Vietnam adalah antara skuad termuda mengikut purata umur di Qatar dan Troussier sentiasa mahu para pemainnya bekerja keras ketika latihan dan menunjukkan komitmen serta fokus ketika perlawanan.

“Di Piala Asia kali ini, pasukan lawan sememangnya dianggap sebagai pasukan yang kuat tetapi mereka tidak akan berdepan cabaran mudah apabila bertemu Vietnam. Kami tidak akan mengaku kalah dan mahu mengekalkan semangat ini apabila kami memasuki kejohanan ini.

“Saya mahu para pemain menjadi lebih proaktif dalam semua situasi, yakin ketika mengawal bola dan tidak menunggu gerakan individu atau kesilapan lawan serta mereka perlu bermain sebagai satu unit.

“Apabila menentang Jepun, kita mungkin kalah sembilan dari 10 pertemuan tetapi kami mampu menewaskan mereka sekali dan siapa tahu ianya ketika perlawanan ini,” katanya menjelang aksi pembukaan di Stadium Al Thumama.

Troussier adalah satu-satunya jurulatih di kejohanan kali ini yang pernah menjulang Piala Asia apabila mengendalikan Jepun menewaskan Arab Saudi ketika final edisi 2000 sekaligus dinobatkan sebagai jurulatih terbaik Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Vietnam bakal berdepan cabaran Jepun sebelum bertemu teman serantau, Indonesia dan melengkapkan aksi kumpulan bertemu Iraq dalam misi layak ke peringkat seterusnya.